Sabtu, 9 September 2017

Remaja negara tempat ketiga



ARKIB : 06/11/2006

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Malaysia menebus kehampaan dalam separuh akhir kelmarin dengan meraih tempat ketiga Kejohanan Badminton Remaja Dunia setelah menewaskan Indonesia 3-1 di Incheon, Korea Selatan, semalam.

Skuad remaja negara memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga berpasukan campuran itu selepas 123 minit di Gimnasium Dunia Incheon sekali gus memperbaiki pencapaian kelima terbaik di Vancouver 2004.

Percaturan Malaysia menurunkan perseorangan utama lelaki, Arif Latif bersama Vountus Indra Mawan dalam beregu lelaki turut menjadi apabila mereka memastikan kemenangan 3-1. Arif ialah adik Zakry, pemain beregu senior negara.

Arif-Vountus menundukkan CJ Subakti-Fernando Kurniawan 21-18, 21-14 biarpun Teo Kok Siang yang turun selaku perseorangan lelaki, tewas kepada Tommy Sugiarto yang juga anak bekas jaguh Icuk, 18-21, 16-21 dalam perlawanan ketiga.

Dua lagi mata Malaysia diperoleh menerusi kemenangan beregu campuran, Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei dan perseorangan perempuan, Lydia Cheah.

Wee Kiong-Khe Wei mengutip mata sulung dengan menundukkan Viki Indra Okvana-Nitya Maheswari 21-14, 17-21, 23-21 sementara Lydia mengatasi Pia Berbadet 21-18, 21-12.

Dengan tiga kemenangan mutlak tersebut, beregu perempuan, Woon Khe Wei-Lydia tidak perlu lagi turun menentang pasangan Pia-Nitya.

Kelmarin, Malaysia kalah kepada Korea Selatan yang juga juara bertahan dan pilihan utama, 1-3. Tuan rumah turut mempertahankan kejuaraan dengan menewaskan China 3-2 pada perlawanan akhir, semalam.

Sebelum itu, Malaysia menjuarai Kumpulan X1 dengan menewaskan Taiwan 4-1, Ukraine 5-0 dan Filipina 5-0 serta Jepun 3-1 pada suku akhir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sBDGzqXY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan