Sabtu, 30 September 2017

Malaysia tempah laluan sukar -- Tewas kepada England pembukaan badminton Piala Sudirman



ARKIB : 13/06/2007

KUALA LUMPUR - Misi Malaysia untuk melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Sudirman buat kali pertama menerima tamparan apabila tewas 2-3 kepada England dalam perlawanan pertama di Glasgow, Scotland, semalam.

Kekalahan mengejut beregu nombor dua dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kepada Anthony Clark-Robert Blair menjadi faktor yang membawa kepada kekalahan Malaysia.

Terdahulu, pasangan remaja, Tan Wee Kiong-Woo Khe Wei seperti diduga bukan pencabar utama mata apabila kalah 10-21, 12-21 kepada juara dunia, Nathan Robertson-Gail Emms dalam saingan pembukaan.

Lee Chong Wei dan Wong Mew Choo, bagaimanapun menghidupkan peluang negara dengan mengutip mata dalam perseorangan lelaki dan wanita untuk kedudukan 2-1.

Chong Wei hanya memerlukan 27 minit untuk menang 21-10, 21-10 ke atas Andrew Smith, manakala Mew Choo mengetepikan pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Tracy Hallam 21-14, 21-18 dalam masa 34 minit.

Malaysia yang optimis mampu mengutip mata dalam beregu lelaki bagaimanapun dikejutkan dengan kekalahan juara Seluruh England, Terbuka Malaysia serta Terbuka Switzerland, Kien Keat-Boon Heong 21-18, 16-21, 16-21.

Selepas kedudukan terikat 2-2, semua harapan tertumpu kepada Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dalam perlawanan penentuan beregu wanita.

Pasangan nombor tujuh dunia itu memberi cabaran terbaik, termasuk mengheret saingan sehingga satu jam 13 minit sebelum kecundang 20-22, 21-18, 21-23 kepada juara Eropah, Gail Emms-Donna Kellogg.

Ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock mengakui, peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir kini semakin sukar, namun belum berakhir.

Perit

‘‘Laluan memang perit tetapi masih ada dan kembali hidup jika kita mengalahkan Thailand (lewat malam tadi). Moral pemain untuk mencari kemenangan juga masih tinggi.

‘‘Kien Keat dan Boon Heong tidak harus dipersalahkan kerana kekalahan ini. Mereka bermain baik tetapi Clark-Blair juga beraksi cemerlang. Lagipun mereka bukan calang-calang beregu dan naib juara dunia,’’ Kim Hock ketika dihubungi di Glasgow, semalam.

Sementara itu, bagi England, kehadiran bekas pemain Malaysia, Tan Kim Her dalam pasukan kebangsaan mereka bulan lalu menjadi rahmat yang membawa kemenangan.

‘‘Jurulatih baru banyak membawa perubahan kepada kami. Taktik dan pendekatan yang digunakan ketika latihan membolehkan kami bersaing dengan beregu utama Asia.

‘‘Kami kalah ketika bertemu mereka (Kien Keat-Boon Heong) pada Terbuka Korea baru-baru ini (Januari). Ketika itu kami tidak cukup cergas, namun keadaan sudah berubah di sini,’’ kata Blair.

Kim Her menyertai England pada 1 Mei lalu selepas meninggalkan Korea Selatan dan tidak meneruskan hasrat untuk kembali ke Malaysia.

Kekalahan kepada England menipiskan peluang pasukan negara untuk melayakkan diri ke separuh akhir kerana pertemuan terakhir esok tidak menjanjikan kemenangan dengan penyandang juara dan pilihan utama, China bakal menanti.

China yang menurunkan barisan terbaiknya, diketuai tiga juara dunia - Lin Dan, Xie Xinfang dan Fu Haifeng-Cai Yun membelasah Thailand 5-0 untuk mendahului Kumpulan A.

Dalam perlawanan Kumpulan B, Indonesia bermula buruk apabila tewas kepada Korea Selatan 3-2, manakala Hong Kong memberikan cabaran sengit kepada juara Eropah, Denmark sebelum kalah 3-2.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u90T0F3k
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan