Jumaat, 15 September 2017

Hafiz, Chen Hong ulangi pertemuan



ARKIB : 13/01/2007

KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim dan pemain nombor empat dunia, Chen Hong dari China terpaksa bersemuka pada pusingan pertama buat kali kedua berturut-turut, selepas kedua-duanya diundi lagi dalam saingan pembukaan Kejohanan Badminton Terbuka Korea, 23-28 Januari ini.

Hafiz dan Chen sebelum ini turut diketemukan seawal pusingan pertama pada Terbuka Malaysia yang akan bermula di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras minggu depan.

Pertemuan awal Hafiz-Chen itu cukup untuk membuktikan betapa kesukaran demi kesukaran akan terus dihadapi oleh pemain badminton pada 2007 hasil pengenalan kejohanan Siri Super.

Jika berjaya melepasi halangan tersebut, dia dijangka bertemu pemain veteran Hong Kong, Ng Wei di pusingan kedua dan menentang jaguh tuan rumah, Lee Hyun Il di suku akhir.

Jaguh nombor satu negara, Lee Chong Wei memulakan kempen dengan berdepan pemain nombor satu Thailand, Boonsak Ponsana dan bakal bertemu pemenang antara pemain nombor satu Jepun, Shoji Sato atau pemain nombor satu England, Andrew Sminth.

Andai berjaya ke suku akhir, pemain nombor dua itu bakal menghadapi halangan pemain muda China, Chen Jin, yang menjadi pencabar Sairul Amar Ayob di pusingan kedua.

Ulangan undian antara juara dunia, Lin Dan dan juara Olimpik, Taufik Hidayat pada pusingan pertama Terbuka Malaysia tidak akan berulang di Korea kerana Taufik tidak bertanding.

Dengan ketiadaan jaguh Indonesia itu, Lin Dan akan memulakan kejohanan bernilai AS$300,000 (RM1.05 juta) itu dengan bertemu Kendrick Lee dari Singapura.

Turut menjadi tumpuan pada pusingan pertama adalah pertemuan dua jaguh veteran - naib juara tahun lalu, Muhd. Roslin Hashim dan pemain nombor lapan dunia, Kenneth Jonassen dari Denmark.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4sjmWk5uK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan