Jumaat, 29 September 2017

Beregu juara, Choong Hann tewas



ARKIB : 21/05/2007

KUALA LUMPUR – Pasangan Chan Chong Ming-Hoon Thien How menjadi beregu terbaru Malaysia melakar nama di pentas antarabangsa apabila muncul juara badminton Terbuka New Zealand di Auckland, semalam.

Bagaimanapun hasrat jaguh veteran, Wong Choong Hann untuk menamatkan kemarau empat tahun tanpa kejuaraan tidak kesampaian apabila kalah kepada pemain sedang meningkat, Andre Kurniawan Tedjono dari Indonesia.

Semalam, Chong Ming-Thien How mengejutkan pilihan utama, Albertus Susanto Njoto-Yohan Hadikusumo Wiratama dari Hong Kong 21-14, 20-22, 21-11 untuk merangkul kejuaraan antarabangsa pertama mereka sejak digandingkan pada Oktober, tahun lalu.

Pasangan nombor 31 dunia itu menjuarai sirkit kebangsaan, Terbuka Kuala Lumpur ketika kali pertama beraksi bersama, Januari lalu namun mereka gagal menyerlah di peringkat antarabangsa sejak kemenangan itu.

Pencapaian terbaik mereka di peringkat antarabangsa sebelum ini adalah muncul naib juara Terbuka Vietnam dan kandas di suku akhir dalam dua kejohanan Siri Super - Terbuka Malaysia dan Singapura.

Kemenangan

Begitu pun semalam, Chong Ming-Thien How, yang gagal mendapat tempat ke Kejohanan Dunia, Ogos ini membuktikan mereka juga bakal menjadi beregu yang perlu diberi perhatian selepas mencatat kemenangan dalam masa 52 minit.

Jurulatih beregu kebangsaan, Rexy Mainaky sebelum ini berjaya menaikkan gandingan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock dan terbaru, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif.

Pada ketika pasangan veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah juga masih berada pada prestasi terbaik, Malaysia kini mempunyai ramai beregu yang boleh diharapkan.

Sementara itu, karier bekas perseorangan utama negara, Choong Hann semakin suram dengan kekalahan 21-13, 18-21, 14-21 kepada pemain muda Indonesia, Andre.

Dengan kegagalan menjuarai Terbuka New Zealand, Choong Hann kini mengharungi 42 bulan tanpa sebarang gelaran sejak kali terakhir muncul juara pada Terbuka Taiwan, November, 2003.

Seperti Chong Ming-Thien How, ketua pasukan Piala Thomas negara pada 2006 ini gagal meraih tiket Kejohanan Dunia tetapi mendapat kepercayaan untuk beraksi pada kejohanan berpasukan Piala Sudirman, September ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4u7NiE2Fo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan