Ahad, 3 September 2017

Hafiz, beregu campuran teruskan cabaran - Kejohanan Badminton Dunia



ARKIB : 20/09/2006
Ads by Kiosked
Hafiz, beregu campuran teruskan cabaran - Kejohanan Badminton Dunia

KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim melangkah mudah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Madrid semalam selepas mengetepikan cabaran awal pemain Ireland, Scott Evans.

Hafiz, 24, pilihan kelapan tidak menghadapi masalah untuk menundukkan Evans 21-10, 21-14 dalam masa 20 minit untuk menempah pertemuan dengan Michal Matekja dari Slovakia, hari ini.

Juara Seluruh England 2003 itu, yang terkeluar pada pusingan ketiga tahun lalu menjadi pemain lelaki kedua negara berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua selepas Kuan Beng Hong.

Beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui turut mara ke pusingan ketiga selepas menewaskan Maja Kersnik-Maja Tvrdy dari Slovenia 21-7, 21-5.

Cabaran Malaysia pada kejohanan yang berlangsung di Palacio de los Deportes itu turut diteruskan oleh dua beregu campuran, Gan Teik Chai-Fong Chew Yen serta Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ooi Sock Ai.

Teik Chai-Chew Yen dipaksa berhempas pulas untuk menyingkirkan pasangan India, V. Diju-Jwala P. Gutta 21-18, 17-21, 21-19 dan akan berdepan beregu Poland, Robert Mateusiak-Nadiezda Kostiuczyk.

Fairuzizuan-Sock Ai pula mudah mengetepikan Sergio Llopis-Dolores Marco dari Sepanyol 21-19, 21-16 dan akan bertemu pemenang di antara Ingo Kindervater-Katrin Piotrowski dari Jerman atau Nicholas Jinadasa-Samantha Jinadasa dari Amerika Syarikat.

Cabaran perseorangan wanita negara, M. Shutheaswari pula berakhir seawal pusingan pembukaan selepas tunduk 10-21, 14-21 di tangan Maja Tvrdy dari Slovenia.

Turut tersingkir adalah pasangan wanita, Fong Chew Yen-See Phui Leng yang tunduk 11-21, 11-21 kepada beregu Jepun, Kumiko Ogura-Reiko di pusingan kedua.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei akan memulakan kempen memburu kejuaraan dengan menentang pemain utama Jerman, Bjoern Joppien pada pusingan kedua hari ini.

Tiga pasangan lelaki negara, negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat serta Fairuzizuan-Lin Woon Fui juga akan memulakan cabaran masing-masing.

Beregu nombor tiga dunia dan juara Asia, Tan Fook-Wan Wah akan memulakan cabarannya dengan menentang pasangan Vietnam, Nguyen Quang Minh-Tran Thanh-Hai.

Chong Ming-Kien Keat, yang berazam untuk mengulangi kejayaan layak ke separuh akhir tahun lalu bakal berdepan laluan berliku apabila bertemu pasangan muda Korea, Hwang Ji Man-Han Hoon Sang.

Turut turun beraksi hari ini adalah pemain wanita nombor satu negara, Wong Mew Choo yang akan menentang Fransisca Ratnasari dari Indonesia pada pusingan kedua.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4rbjBmIJQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan