Jumaat, 29 September 2017

Choong Hann ke babak akhir



ARKIB : 20/05/2007

KUALA LUMPUR – Meskipun gagal mendapat tempat pada Kejohanan Dunia, Wong Choong Hann mempamer keazaman tinggi untuk bangkit dengan mara ke perlawanan akhir badminton Terbuka New Zealand selepas menumpaskan penyandang juara dan rakan senegara, Lee Tsuen Seng semalam.

Cabaran Malaysia pada kejohanan bernilai AS$50,000 (RM176,000) itu turut diteruskan pasangan Chan Chong Ming-Hoon Thien How dalam beregu lelaki.

Namun, hasrat untuk menyaksikan pertembungan dua pemain negara pada final perseorangan lelaki tidak kesampaian apabila Yeoh Kay Bin kandas di separuh akhir.

Nama Choong Hann tidak tersenarai dalam barisan ke Kejohanan Dunia kerana menduduki ranking 35, namun semalam dia membuktikan bahawa dirinya masih perlu diberi perhatian.

Choong Hann memberi tamparan buat Tsuen Seng, yang mendapat kepercayaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bertanding di Bukit Jalil, 13-19 Ogos ini dengan kemenangan 21-11, 18-21, 21-12.

Bekas perseorangan utama negara itu kini akan berdepan pemain muda sedang meningkat, Andre Kurniawan Tedjono dari Indonesia, yang melakar kejutan ke atas Kay Bin 21-18, 21-15.

Andre juga adalah pemain yang telah mengecewakan perseorangan negara dan pemegang tiket Kejohanan Dunia, Mohd. Roslin Hashim pada suku akhir, kelmarin.

Sementara itu, Chong Ming-Thien How menghampiri gelaran antarabangsa pertama apabila menempah pertemuan akhir dengan pilihan utama, Albertus Susanto Njoto-Yohan Hadikusuma dari Hong Kong.

Chong Ming-Thien How, juara Terbuka Kuala Lumpur, menundukkan pasangan Indonesia, Anggun Nugroho-Devin Lahardi Fitiriawan 17-21, 21-11, 21-7.

Albertus-Yohan pula mara tanpa perlu turun ke gelanggang selepas pasangan tuan rumah, John Moody-Alan Chan menarik diri.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4u7JLeVLM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan