Sabtu, 9 September 2017

Tuah memihak pemain kita



ARKIB : 19/11/2006

Oleh Norzie Mohd. Khasbi

KUALA LUMPUR - Malaysia menerima ‘undian idaman’ dalam acara badminton berpasukan lelaki, yang menjamin sekurang-kurangnya sebutir pingat pada Sukan Asia di Doha, bulan depan.

Malah, undian juga berpihak kepada dua perseorangan lelaki negara, Lee Chong Wei dan Muhd. Hafiz Hashim yang dijangka tidak berdepan liku besar untuk melangkah ke separuh akhir.

Namun begitu, laluan agak sukar diterima oleh beregu lelaki, perseorangan wanita serta beregu wanita, manakala saingan tampak terbuka dalam acara beregu campuran.

Jika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengimpikan sebutir pingat emas pada temasya 1-15 Disember itu, acara berpasukan lelaki dilihat sebagai peluang terbaik untuk memberikan emas yang dicari.

Pasukan lelaki Malaysia menjadi pilihan untuk menjuarai Kumpulan C selepas diletak bersama Hong Kong dan Jepun dalam undian yang dijalankan oleh Konfederasi Badminton Asia (ABC) di Kuala Lumpur semalam.

Menjuarai peringkat kumpulan bermakna melayakkan diri ke separuh akhir, sekali gus menjamin sekurang-kurangnya sebutir pingat gangsa.

Laluan Malaysia untuk layak ke akhir juga bertambah cerah apabila tidak perlu berdepan gergasi dunia, China atau Indonesia pada separuh akhir, sebaliknya dijangka bertemu penyandang juara, Korea.

Juara Piala Thomas, China dan Indonesia diundi dalam Kumpulan A, manakala Korea, Thailand dan Vietnam diletakkan dalam Kumpulan B.

“Tanpa perlu berdepan China atau Indonesia di separuh akhir, Malaysia mempunyai peluang yang sangat cerah untuk ke perlawanan akhir, ia sudah menjanjikan sekurang-kurangnya satu perak.

“Pada saya ini adalah undian yang memang diharapkan oleh mana-mana pasukan tetapi bagi acara individu peluang agak bercampur, terutama dalam beregu lelaki, tetapi harapan masih ada,’’ kata ketua jurulatih kebangsaan, Yap Kim Hock, semalam.

Dalam perseorangan lelaki, cabaran terbesar yang bakal dihadapi Chong Wei hanya dijangka hadir pada peringkat separuh akhir apabila bertemu sama ada penyandang juara dan juara Olimpik, Taufik Hidayat atau jaguh China, Bao Chunlai.

Hafiz juga menerima laluan mudah pada tiga pusingan awal, sebelum dijangka bertemu Lee Hyun Il dari Korea Selatan dalam suku akhir dan jika menang, menanti beliau di separuh akhir ialah pemain nombor satu dunia dan juara dunia, Lin Dan.

Dua beregu muda Malaysia, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bakal merasai pengalaman mendebarkan apabila membuat penampilan pertama di Sukan Asia.

Fairuzizuan-Woon Fui akan memulakan kempennya dengan menentang pasangan China, Zhengbo-Guo Zhengdong pada pusingan kedua selepas mendapat bye pada pusingan pertama.

Jika menang, beregu negara itu perlu berdepan dengan pasangan handalan Indonesia, Luluk Hadiyanto-Luluk Yulianto di pusingan ketiga.

Beregu remaja dan naib juara Terbuka Jepun, Kien Keat-Boon Heong pula bakal menentang juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China seawal pusingan ketiga.

Sementara itu, pasukan wanita Malaysia hanya boleh berharap untuk sekurang-kurangnya muncul naib juara Kumpulan Y apabila diletakkan bersama juara Piala Uber, China dan Indonesia.

Thailand, Hong Kong dan Singapura pula berada dalam Kumpulan Y, manakala Jepun, Korea serta Taiwan dalam Kumpulan Z.

“Secara realistik, Malaysia hanya akan bersaing untuk menduduki tempat kedua dalam peringkat kumpulan kerana China sudah pasti calon terbaik muncul juara,’’ kata Kim Hock.

Dalam saingan perseorangan, Wong Mew Choo dijangka berdepan pilihan ketiga, Wang Chen dari Hong Kong pada pusingan ketiga, manakala Julia Wong akan menentang pilihan kelima, Hwang Hye Youn dari Korea di pusingan kedua.

Pasangan Joanne Quay-Lim Pek Siah mungkin hanya sempat merasai satu perlawanan kerana perlu berdepan pasangan nombor satu dunia, Gao Ling-Huang Sui dalam saingan pembukaan beregu wanita.

Cabaran terbesar buat Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pula dijangka hadir pada peringkat suku akhir apabila bertemu pasangan Taiwan, Chien Yu Chin-Cheng Wen Hsing.

BAM meletakkan sasaran sebutir emas untuk dibawa pulang daripada Temasya Doha, manakala Majlis Sukan Negara mensasarkan tiga perak.

Kali terakhir Malaysia merangkul pingat emas Sukan Asia adalah pada Temasya Bangkok 1970 apabila meraih tiga emas menerusi Punch Gunalan (perseorangan lelaki), Punch Gunalan-Ng Boon Bee (beregu lelaki) dan Ng Boon Bee-Sylvia Ng (beregu campuran).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sEHi40nr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan