Jumaat, 15 September 2017

Beregu, Mew Choo ke akhir



 
ARKIB : 21/01/2007
KOO Kien Kiat (kanan) dan Tan Boon Heong meraikan kemenangan menewaskan beregu Indonesia, Markis Kido (tengah) dan Hendra Setiawan pada separuh akhir badminton Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar HAFIZ JOHARI.

KUALA LUMPUR – Beregu muda negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong membuktikan kemenangan mereka pada Sukan Asia bulan lalu bukan sekadar nasib apabila mengulangi kecemerlangan itu dengan mara ke perlawanan akhir badminton Terbuka Malaysia selepas menumpaskan Markis Kido-Hendra Setiawan, lawan dari Indonesia yang turut dikalahkan semasa di Temasya Doha.

Walaupun tidak memberikan permainan terbaik mereka seperti ketika memenangi pingat emas Sukan Asia dan terpaksa memulakan cabaran dari pusingan kelayakan, namun Kien Keat-Boon Heong tetap menundukkan Markis-Hendra 21-19, 21-16 untuk menempah pertemuan dengan juara Olimpik 2000, Tony Gunawan-Candra Wijaya di perlawanan hari ini di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras.

Pertemuan dengan pasangan handalan Amerika Syarikat-Indonesia itu turut mengulangi final Terbuka Jepun 15 Oktober lalu, di mana Tony-Candra mudah mengalahkan Kien Keat-Boon Heong 21-15, 21-14.

Tony-Candra, dua nama besar yang mempunyai pengalaman merangkul pelbagai kejuaraan besar termasuk muncul juara dunia tidak perlu mengeluarkan peluh untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas lawan mereka di separuh akhir, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan menarik diri kerana kecederaan.

“Permainan mereka (Kien Keat-Boon Heong) hari ini lebih rendah berbanding ketika beraksi di Sukan Asia, tetapi mereka masih mampu mengalahkan Markis dan Hendra dengan keputusan straight-set, itu satu kejayaan yang cukup bagus.

“Mereka tidak harus berasa tertekan apabila turun ke gelanggang esok kerana Tony dan Candra adalah lawan yang memiliki reputasi besar, jadi Koo dan Tan hanya underdog dalam perlawanan akhir.

“Apa pun, saya percaya mereka mampu membawa pulang kejuaraan jika dapat mempamerkan aksi lebih baik daripada hari ini, dan saya akan menggunakan seluruh pengalaman yang ada ini untuk membantu kemenangan mereka,” kata jurulatih beregu, Rexy Mainaky.

Bagi Kien Keat, 21, ini merupakan perlawanan akhir Terbuka Malaysia kedua berturut-turut selepas merangkul kejuaraan di Kuching bersama Chan Chong Ming, tahun lalu.

Boon Heong, 19, yang pernah merangkul kejuaraan remaja dunia bersama Hoon Thien How pada 2004 memburu gelaran terbuka pertamanya selepas mencatat kejayaan bersejarah di Doha, bulan lalu.

“Semuanya berjalan dengan lancar setakat ini. Kami memang amat memerlukan beberapa keputusan mengejut untuk memperbaiki ranking kerana pada kedudukan sekarang (116 dunia) kami terpaksa memulakan kebanyakan kejohanan dari pusingan kelayakan.

“Sasaran kami pada awal kejohanan adalah mencatat beberapa kemenangan ke atas beregu terbaik, tetapi sekarang kami telah menjangkau keputusan yang lebih baik daripada itu dengan mara ke final dan bertemu Tony Gunawan-Candra Wijaya sekali lagi. Mereka bukan lawan yang mudah, tetapi kami kini lebih matang berbanding di Terbuka Jepun,” kata Kien Keat.

Sementara itu, Wong Mew Choo hanya selangkah untuk menjadi pemain wanita pertama negara merangkul kejuaraan badminton Terbuka Malaysia dalam tempoh 42 tahun selepas mara ke final perseorangan.

Kejayaan menundukkan pemain Jepun, Eriko Hirose 21-18, 21-19 pada separuh akhir semalam turut mencatat sejarah tersendiri dalam karier pemain berusia 24 tahun itu apabila berjaya melangkah ke aksi akhir pertamanya dalam sebarang kejohanan terbuka antarabangsa.

Mew Choo, yang mencipta sejarah badminton tanah air dengan menjadi pemain wanita pertama merangkul gelaran perseorangan Sukan SEA selepas 26 tahun pada temasya Vietnam 2003, bagaimanapun bakal berdepan lawan sukar pada perlawanan akhir hari ini apabila menentang pemain China, Zhu Lin.

Zhu Lin, pemain nombor sembilan dunia mudah mengetepikan cabaran pemain ranking ketujuh dari Belanda, Yao Jie 21-8, 21-11.

“Saya tidak pernah terfikir untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir, apatah lagi muncul juara tetapi sekarang saya sudah berada di final dan saya akan berikan semua yang saya ada apabila bertemu Zhu Lin.

“Bagaimanapun saya tidak mahu menjanjikan kemenangan kerana ia bukan saja akan memberi tekanan tetapi juga kerana lawan yang bakal saya temui bukan mudah,” katanya.

Kali terakhir Malaysia memenangi kejuaraan perseorangan wanita Terbuka Malaysia adalah pada 1965 menerusi Rosaland Singha Ang, tahun yang sama dia menjuarai gelaran beregu wanita bersama Teoh Siew Yong.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sow7xXBH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan