Sabtu, 23 September 2017

Beregu veteran juara badminton Asia



ARKIB : 16/04/2007
Oleh SOPI SAMAILE
Pasangan (dari kanan) Chong Tan Fook dan Lee Wan Wah berjaya mempertahankan kejuaraan beregu selepas menewaskan rakan senegara, Koo Kien Keat (kiri) dan Tan Boon Heong dan Choong Tan Fook pada Kejohanan Badminton Asia (ABC) di Stadium Tertutup, Majlis Bandaraya Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Beregu veteran negara, Choong Tan Fook- Lee Wan Wah mempertahankan gelaran juara sekali gus bangkit daripada kemerosotan prestasi mereka sebelum ini apabila mengenepikan pasangan sensasi, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada Kejohanan Badminton Asia (ABC), semalam.

Turun sebagai penyandang juara, gandingan Tan Fook-Wan Wah membenam pasangan muda yang menjuarai kejohanan Seluruh England dan Terbuka Switzerland itu dengan 21-14, 11-21, 21-12 untuk meraih hadiah kemenangan AS$9,000 (RM30,968).

Pasangan veteran itu bermain cemerlang pada set pertama dengan kemenangan 21-14 sebelum tewas mudah pada set kedua dengan 11-21. Namun semangat kental menyaksikan mereka bangkit menguasai set penentuan dengan memenangi perlawanan 21-12.

Kali terakhir gandingan Tan Fook-Wan Wah menjuarai sebarang kejohanan adalah pada tahun lalu iaitu pada kejohanan yang sama di Johor Bahru.

Sementara itu, permainan pasangan emas negara pula tidak berapa menjadi sejak kelmarin meskipun menang keatas pasangan dari Taiwan untuk menempah tiket ke perlawanan akhir semalam.

Dalam pada itu, Tan Fook menyuarakan rasa kagum kepada pasangan Kien Keat-Boon Heong kerana keupayaan mengikuti rentak permainan mereka, terutama pada set kedua yang memberi kemenangan kepada pasangan muda itu.

‘‘Usia bukan menjadi faktor penghalang. Tidak timbul persoalan samada anda seorang pemain veteran atau pemain muda. Yang penting ialah samada kita benar-benar kompetitif atau tidak,” kata Tan Fook.

Pemain itu berharap, kemenangan ini membuka lembaran baru kepada mereka untuk kembali menyinar selepas prestasi hambar sejak awal tahun ini.

Bagi Kien Keat, dia tidak berpuas hati dengan persembahannya pada kejohanan ini dan berharap boleh bangkit pada kejohanan Terbuka Singapura nanti.

‘‘Mereka (Tan Fook-Wan Wah) bermain dengan begitu baik hari ini apabila kerap berjaya mengambil pukulan-pukulan deras dan tajam menyebabkan kami sukar mematikan langkah mereka,” ujarnya.

Sebelum ini, Kien Keat-Boon Heong pernah bertembung dengan pasangan Tan Fook-Wan Wah pada pertemuan terakhir kedua-dua beregu itu pada Kejohanan Terbuka Korea yang menyaksikan kemenangan menjadi milik pasangan muda itu.

Dalam perseorangan lelaki, pemain nombor satu Indonesia, Taufik Hidayat merangkul kejuaraan selepas menumpaskan pemain China, Chen Hong 21-18, 21-19.

Kemenangan itu membolehkan Taufik membawa pulang hadiah AS$10,000 (RM34,409) manakala naib juara, Chen Hong memperoleh AS$4,000 (RM13,763).

Bagi kategori perseorangan wanita, pemain dari China, Jiang Yanjiao menumpaskan rakan senegaranya, Lu Lan 25-23, 23-21 sekali gus merangkul hadiah wang tunai AS$8,625 (RM29,678).

Beregu wanita menyaksikan penguasaan dua pasangan China yang bertembung sesama sendiri dengan gandingan Yang Wei- Zhao Tingting menewaskan pasangan Cheng Shu-Zhao Yunlei 21-10, 21-11 untuk membawa pulang hadiah AS$7,625 (RM26,237).

Kategori beregu campuran turut dikuasai oleh pemain dari China dengan pasangan He Hanbin-Yu Yang menang ke atas rakan senegara, Xu Chen-Zhao Tingting 22-20, 21-15.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai AS$7,250 (RM24,946) manakala naib juara sebanyak AS$2,750 (RM9,462).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tWZv374R
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan