Ahad, 24 September 2017

Beregu kita hanya naib juara



ARKIB : 07/05/2007

SINGAPURA – Hajat beregu nombor satu negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah untuk merangkul kejuaraan kedua berturut-turut musnah semalam, selepas tumpas pada perlawanan akhir kejohanan badminton Terbuka Singapura.

Bagaimanapun juara Asia itu mempamer permainan mantap dan semangat juang tinggi yang wajar dijadikan contoh oleh beregu muda Malaysia lain apabila mengheret juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun beraksi lebih satu jam sebelum tunduk 21-16, 22-24, 18-21.

Kekalahan tersebut juga meleburkan impian pasangan veteran itu untuk merampas kembali gelaran yang pernah diraih pada 1999 selepas seketika peluang dilihat amat terbuka terutama dengan kemenangan di set pertama.

Bagi Cai Yun-Haifeng, pasangan nombor satu dunia, ini merupakan kemenangan antarabangsa pertama mereka dalam tempoh lapan bulan sejak menjuarai Kejohanan Dunia di Madrid, September lalu.

“Menentang Cai Yun-Fu Haifeng memang tidak pernah mudah. Kami bermain baik hari ini, terutama di set pertama dan kedua, keadaan ketika itu kelihatan berada di bawah kawalan.

“Bagaimanapun kegopohan untuk menamatkan set kedua dengan cepat membawa padah kerana kami mula membuat silap dan memberikan mata kepada lawan.

“Apa pun, kami gembira dengan persembahan keseluruhan sepanjang Terbuka Singapura, dan harap ia dapat dikekalkan menjelang Kejohanan Dunia, Ogos ini,’’ kata Wan Wah.

Kekalahan semalam, selain hanya memberi pulangan AS$5,760 (RM20,270) untuk dikongsi, ia turut membolehkan Cai Yun- Haifeng merapatkan rekod pertemuan kepada 2-4.

Sementara itu pemain nombor satu Thailand, Boonsak Ponsana melengkapkan siri kejutan yang telah dilakar sejak awal kejohanan dengan muncul juara perseorangan lelaki.

Pemain bukan pilihan berusia 25 tahun itu menggondol AS$16,000 (RM56,320) selepas menewaskan pemain muda China dan pilihan ketujuh, Chen Yu 21-17, 21-14.

Ini adalah kemenangan terbesar dalam karier Boonsak, yang sebelum ini turut menundukkan pemain nombor satu dunia, Lin Dan di suku akhir dan mengecewakan pemain negara, Muhd. Hafiz Hashim pada pusingan kedua.

“Saya sendiri terkejut dengan permainan saya di sini kerana saya tidak pernah terfikir mampu untuk mengalahkan Chen Yu. Malah, ketika memulakan kejohanan, tidak pernah terlintas di hati saya akan muncul juara.

“Bagaimanapun semua mula berubah selepas saya berjaya menundukkan pemain Malaysia, Hafiz Hashim pada pusingan kedua kerana saya tidak pernah mengalahkan Hafiz, dan kemenangan pertama telah meningkatkan keyakinan.

“Kemudian, saya mengejutkan pemain nombor satu dunia, Lin Dan di suku akhir. Selepas perlawanan itu, saya tahu saya boleh (merangkul gelaran),’’ kata Boonsak.

Sementara itu pemain veteran China, Zhang Ning menjuarai Terbuka Singapura buat kali kelima selepas menundukkan musuh tradisi, pemain nombor satu dunia dan juara dunia, Xie Xingfang 21-18, 19-21, 21-3 dalam perseorangan wanita.

Seperti Boonsak, Zhang Ning, 32, bukan pilihan utama di Singapura meski pun dia adalah pemain nombor dua dunia kerana kebanyakan tumpuan diberikan kepada rakan-rakan senegara yang lebih muda.

Begitu pun, Zhang Ning membuktikan pengalaman amat berguna untuk menjinakkan Xingfang, sekali gus membawa pulang hadiah besar - AS$13,800 (RM48,576).

“Stadium Tertutup Singapura merupakan gelanggang yang sering menggembirakan saya. Saya telah memasuki lima perlawanan akhir di sini sebelum ini dan menang empat daripadanya.

“Barangkali memori itu telah menambah keyakinan saya untuk memburu satu lagi kemenangan,’’ kata Zhang Ning, yang juga juara 2001, 2003, 2004 dan 2005.

Kemenangan bekas juara dunia itu menyusul tidak lama selepas rakan senegara dan beregu nombor satu dunia, Zhang Yawen-Wei Yili muncul juara beregu wanita dengan menewaskan rakan sepasukan, Zhao Tingting- Yang Wei10-21, 21-19, 21-18.

Flandly Limpele-Vita Marissa pula memberi kemenangan tunggal kepada Indonesia apabila menundukkan pasangan Thailand, Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam 21-4, 21-13 dalam beregu campuran.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ta7dE2cm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan