Ahad, 24 September 2017

Choong Tan Fook-Lee Wan Wah ke suku akhir



ARKIB : 11/05/2007

JAKARTA – Beregu nombor satu negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah mengetuai kemaraan empat pasangan negara ke suku akhir badminton Terbuka Indonesia, semalam.

Malah, Malaysia sudah mengesahkan sekurang-kurangnya satu tiket separuh akhir beregu lelaki apabila Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui menentang Chan Chong Ming-How Thien How di suku akhir kejohanan Siri Super bernilai AS$250,000 (RM880,000).

Turut meneruskan cabaran adalah juara Seluruh England, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, selain perseorangan utama, Lee Chong Wei dan beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

Tan Fook-Wan Wah menempah pertemuan dengan juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun buat kali kedua dalam tempoh dua minggu selepas menyingkirkan pasangan tuan rumah, uluk Hadiyanto-Alvent Yulianto 21-17, 21-16.

Kien Keat-Boon Heong pula menebus kekecewaan tersingkir pada pusingan pertama di Singapura dengan dengan menundukkan bekas juara dunia, Lars Paaske-Jonas Rasmussen dari Denmark 21-12, 21-1 7 Pemenang pingat emas Sukan Asia, juara Terbuka Malaysia dan Switzerland itu kini akan menentang pilihan ketiga, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia. .

“Kami tidak sangka akan menang semudah ini dengan pasangan Denmark, tetapi nampaknya kami sudah kembali menemui rentak, itu yang penting,’’ kata Boon Heong.

Fairuzizuan-Zakry melakar kejutan terbesar kejohanan dengan menumbangkan beregu nombor dua dunia, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen dari Denmark 26-24, 25-23

Kemenangan tersebut kemudian disusuli oleh Chong Ming-Thien How yang mengejutkan pilihan ketujuh, Jung Jae Sung-Lee Jae Jin dari Korea Selatan 23-21, 21-17.

Chong Wei, yang disingkirkan rakan senegara, Muhammad Hafiz Hashim pada saingan pertama Terbuka Singapura, mengetepikan pemain muda sedang meningkat, Simon Santoso 21-17, 14-21 dan 21-15.

Ironiknya, bintang muda Indonesia itu adalah pemain yang mengetepikan Hafiz pada pusingan pembukaan Terbuka Indonesia.

Chong Wei kini menjadi pilihan untuk mara ke separuh akhir kerana dijangka tidak menghadapi masalah untuk menundukkan Kendrick Lee dari Singapura, hari ini.

“Saya gembira berjaya ke suku akhir Terbuka Indonesia kerana saya tidak pernah pergi sejauh ini di sini, ini adalah pencapaian terbaik saya selepas empat penyertaan,’’ kata Chong Wei, yang akan bertemu Kendrick Lee dari Singapura.

Pilihan keempat, Pei Tty-Eei Hui pula meneruskan cabaran wanita selepas menumpaskan gandingan tuan rumah, Endang Nursugianti-Rani Mundiasti 21-16, 21-12 untuk menentang beregu bukan pilihan dari China, Zhao Tingting-Yang Wei.

Sementara itu, pemain Kelab Raket Kuala Lumpur, Sairul Amar Ayob gagal melangkah ke suku akhir selepas tewas 12-21,13-21 kepada jaguh Denmark, Peter Gade-Christensen.

Turut melupakan saingan lebih awal adalah pasangan muda, Gan Teik Chai-Lin Woon Fui yang nyata bukan tandingan andra Wijaya-Tony Gunawan apabila tunduk 15-21, 14-21.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4taN8TcWn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan