Jumaat, 8 September 2017

Kien Keat, Pei Tty kejutkan juara dunia

ARKIB : 22/09/2006
Ads by Kiosked

KUALA LUMPUR – Pasangan Koo Kien Keat-Wong Pei Tty melakar kejutan terbesar pada Kejohanan Dunia di Madrid semalam apabila menundukkan penyandang juara dan beregu nombor satu dunia, Nova Widianto-Lilyana Natsir dari Indonesia untuk mara ke suku akhir beregu campuran.

Ketiadaan Chan Chong Ming, yang terpaksa pulang awal kerana kematian bapa memberi semangat tambahan buat pemain negara, terutama Kien Keat untuk mencatat kemenangan 21-18, 18-21, 22-20 ke atas pasangan utama Indonesia itu.

Turut meneruskan cabaran negara adalah dua perseorangan utamanya, pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim.

Selepas mengejutkan pemenang pingat perak Olimpik Athens, Shon Seung-mo dari Korea di pusingan pertama, hasrat pemain Denmark, Joachim Persson untuk meneruskan kejutan tidak kesampaian apabila tewas 16-21, 12-21 kepada Chong Wei.

Kemenangan Chong Wei itu bakal menemukannya dengan pemenang di antara pemain nombor sembilan dunia, Bao Chunlai dari China atau perseorangan Indonesia, Sony Dwi Kuncoro.

Chong Wei mempunyai rekod cemerlang ke atas Chunlai dengan memenangi kesemua enam pertemuan kedua-dua pemain, termasuk yang terbaru di Terbuka Macau, Julai lalu.

Hafiz pula dikejutkan dengan kekalahan pada set pertama sebelum mengalahkan Dicky Palyama dari Belanda 16-21, 21-19, 21-13.

Juara Seluruh England 2003 itu bagaimanapun bakal berdepan laluan perit di suku akhir hari ini apabila dijangka menentang bekas pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China.

Hafiz, pilihan kesembilan tidak pernah mengalahkan Lin Dan dalam semua lima pertemuan mereka termasuk yang terakhir di Terbuka Macau.

Sementara itu, hasrat pasangan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ooi Sock Ai untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir tidak kesampaian apabila tersingkir pada pusingan ketiga.

Pasangan negara itu terpaksa akur dengan kekalahan 11-21, 13-21 kepada beregu berpengalaman Denmark, Thomas Laybourn- Kamilla Juhl Rytter.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4rcUjrpY8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan