Jumaat, 8 September 2017

Beregu bidan terjun negara ke akhir



ARKIB : 15/10/2006

KUALA LUMPUR – Beregu bidan terjun negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang tinggal untuk mara ke perlawanan akhir Terbuka Jepun.

Kejayaan menewaskan pasangan tuan rumah, Shuichi Sakamoto-Shintaro Ikeda 21-13, 14-21, 21-11 di separuh akhir semalam membolehkan pasangan muda negara itu meneruskan kejutan pada kejohanan ini.

Pada perlawanan akhir hari ini, Kein Keat-Boon Heong yang digandingkan berikutan ketiadaan Chan Chong Ming yang kematian bapa akan bertemu pasangan Candra Wijaya-Tony Gunawan.

Beregu Indonesia itu menewaskan beregu pilihan pertama kejohanan dari China, Fu Haifeng-Cai Yun 21-11, 21-11 dalam satu lagi separuh akhir beregu lelaki.

Harapan untuk menyaksikan Malaysia turut mempunyai wakil dalam perseorangan lelaki berkecai apabila Lee Chong Wei laluannya tersekat lagi.

Kali ini pemain nombor satu negara itu yang tersekat di suku akhir kejohanan dunia di Madrid, bulan lalu, tewas pula kepada pemain Indonesia, Taufik Hidayat 21-17, 21-13.

Lawan Taufik pada perlawanan akhir ialah pemain perseorangan utama China, Lin Dan yang menewaskan pemain Denmark, Peter Gade 21-12, 21-14.

Dalam acara perseorangan dan beregu wanita, semuanya dikuasai pemain China yang akan bertemu sesama sendiri.

Sementara itu, Indonesia menguasai acara beregu campuran selain mempunyai Taufik dan gandingan Candra-Tony pada perlawanan akhir hari ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4s4vJmAw7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan