Sabtu, 30 September 2017

Malaysia hidupkan peluang



ARKIB : 14/06/2007

WONG Pei Tty melakukan smash dalam acara beregu wanita menentang pasangan Thailand dalam perlawanan Kumpulan A Piala Sudirman di Glasgow, semalam. Malaysia menang 3-2. – AFP.

KUALA LUMPUR – Beregu wanita, Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui menghidupkan semula peluang Malaysia dalam divisyen satu kejohanan badminton berpasukan campuran Piala Sudirman apabila meraih mata kemenangan untuk menewaskan Thailand 3-2 di Glasgow, Scotland, semalam.

Selepas terikat 2-2 dalam perlawanan Kumpulan A itu, Pei Tty-Eei Hui melegakan Malaysia dengan membenam Duanganong Aroonkesorn-Kunchala Voravichitchaikul 21-16, 21-12 dalam masa 33 minit sekali gus mengembalikan peluang untuk ke separuh akhir.

Malaysia yang tewas 3-2 kepada England pada kelmarin, kini menduduki tempat kedua di belakang juara bertahan, China.

Keadaan agak cemas di kem Malaysia apabila Thailand merebut mata pertama menerusi beregu campuran, Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam yang menundukkan Tan Wee Kiong-Woon Khe We 21-17, 21-14.

Namun perseorangan lelaki, Lee Chong Wei menyamakan kedudukan dengan menundukkan Boonsak Ponsana 21-15, 21-16 sebelumi Malaysia kembali tertekan apabila Wong Mew Choo dikejutkan Salakjit Ponsana dalam 56 minit dengan 17-21, 21-10, 15-21.

Juara Sukan Asia dan Seluruh England, Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong yang tewas mengejut kelmarin, mengutip mata penyamaan kedua Malaysia dengan menundukkan Sudket Prapakamol-Phattapol Ngensrisuk 21-16, 21-12.

Malaysia kini terikat mata dengan England yang dibenam China 5-0, semalam. Skuad negara bagaimanapun mempunyai rekod perlawanan yang lebih baik untuk menghuni tempat kedua.

Malaysia akan bertemu China hari ini dengan mengharapkan keajaiban berlaku untuk mengalahkan juara tujuh kali berturut-turut itu sekurang-kurangnya 3-2 sambil mengharapkan Thailand menundukkan England.

China, seperti ketika menang ke atas Thailand, Isnin lalu mengekalkan rekod tanpa kalah walau satu set pun selepas membelasah England dan kekal teratas untuk ke separuh akhir menentang naib juara Kumpulan B mungkin denganIndonesia yang menewaskan Denmark 4-1.

Korea Selatan juga meletakkan sebelah kaki ke separuh akhir selepas menang 4-1 ke atas Hong Kong dalam Kumpulan B.

Kemenangan Indonesia ke atas Denmark menyebabkan kedua-dua pasukan terikat di tempat kedua selepas masing-masing menang satu perlawanan.

Indonesia yang diketuai oleh juara Sukan Olimpik 2004, Taufik Hidayat, akan bertemu Hong Kong dalam perlawanan terakhirnya hari ini manakala Denmark berdepan dengan Korea Selatan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u9AvGsPz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan