Ahad, 24 September 2017

Chong Wei mara, Hafiz tumbang



ARKIB : 10/05/2007

JAKARTA - Pemain perseorangan dan pasangan beregu utama Malaysia kembali cemerlang apabila menang mudah pada perlawanan pembukaan kejohanan badminton Terbuka Indonesia yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$250,000 di Stadium Istora Senayan di sini.

Pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei mengetuai kemaraan pemain Malaysia apabila mengalahkan rakan senegara, Kuan Beng Hong 21-16, 21-13 untuk mara ke pusingan kedua bertemu dengan pemain Indonesia Simon Santoso hari ini.

Tidak seperti di Singapura minggu lepas di mana dia kalah pada pusingan pertama menentang rakan senegara, Muhd. Hafiz Hashim, Chong Wei tidak menghadapi masalah mengatasi Beng Hong.

”Saya perlu mengembalikan keyakinan dengan menundukkan pemain yang menduduki ranking lebih tinggi. Mungkin kemenangan ini boleh membantu tetapi saya harus akui pencapaian saya di Terbuka Indonesia sebelum ini tidak begitu baik.

“Saya tidak pernah melepasi pusingan kedua dalam tiga kejohanan sebelum ini. Jadi saya tidak mahu risau sangat mengenainya dan memberi tumpuan terhadap perlawanan dengan Simon esok (hari ini),'' kata Chong Wei.

Mereka bertemu pertama kali pada Sukan SEA 2005 di Manila dan perlawanan itu dimenangi Simon.

Muhd. Hafiz bagaimanapun kalah di tangan pemain Indonesia, Simon Santoso 17-21, 16-21.

Turut mara juara Seluruh England, pasangan Koo Kien Keat and Tan Boon Heong yang mengalahkan beregu Australia, Ashley Brehaut/Aji Sindoro 21-13,21-15 sekali gus bangkit setelah tewas pada pusingan pembukaan di Terbuka Singapura minggu lepas.

Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah, yang muncul naib juara di Singapura turut menang dengan mengatasi pasangan dari Jepun, Tadashi Ohtsuka/Keita Masuda 21-17, 21-9 dan akan menentang pasangan Indonesia Luluk Hadiyanto/Alven Yulianto, juara 2005 pada pusingan seterusnya.

Bagaimanapun tumpuan adalah terhadap pemain perseorangan Indonesia Taufik Hidayat, yang cuba mengekalkan kejuaraan kali ketujuh pada kejohanan ini.

Dia mengalahkan pilihan ketiga dan naib juara Terbuka Singapura Chen Jin dari China 21-8, 15-21, 21-15.

KEPUTUSAN

LELAKI perseorangan (pusingan pertama) - Yen Mui Kendrick Lee (Sin) kln Dicky Palyama (Ned) 21-14, 15-21, 21-15; Simon Santoso (Ina) kln MUHAMMAD HAFIZ HASHIM (MAS) 21-17, 21-16; LEE CHONG WEI (MAS) kln KUAN BENG HONG (MAS) 21-16, 21-13; Taufik Hidayat (INA) kln Chen Jin (Chn) 21-8, 15-21, 21-15; Sony Dwi Kuncoro (Ina) kln Nguyen Tien Minh (Vie) 21-15, 21-23, 21-6; John Moody (Nzl) kln Jan Frohlich (Cze) 21-19, 27-19, 21-13; Ng Wei (HKG) kln Ronald Susilo (Sin) 21-18, 18-21, 21-18; Kenneth Jonassen (Den) kln ISMAIL SAMAN (MAS) 21-13, 21-12; Andre Kurniawan Tedjono (Ina) kln Andrew Smith (ENG) 21-18, 21-18; Boonsak Ponsana (Tha) kln Ari Yuli Wahyu Hartanto (Ina) 14-21, 24-22, 21-17; Chen Hong (Chn) kln Eric Pang (NED) 21-10, 21-19.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4taCy9hNK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan