Khamis, 20 Mei 2021

June Wei, Tze Yong buru suku akhir Masters Sepanyol

CHEAM JUNE WEI

Oleh Nor Azan Fitri Ahmad Hidzir

20 Mei 2021, 6:00 pm



PETALING JAYA: Dua perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei dan Ng Tze Yong akan turun beraksi petang ini bagi memburu slot suku akhir kejohanan badminton Masters Sepanyol.

June Wei melangkah ke pusingan kedua selepas mudah mengetepikan cabaran Jeppe Bruun dari Denmark dengan keputusan 21-9, 21-11 untuk bertemu pilihan kelapan dari Sweden, Felix Burestedt yang menewaskan Carlos Piris 21-11, 21-11.

Seandainya melangkah ke suku akhir, June Wei dijangka berdepan pilihan utama kejohanan berstatus Super 300 itu iaitu Sheshar Siren Rhustavito dari Indonesia.

Sementara itu, Tze Yong bakal berdepan cabaran pilihan kedua kejohanan dari Perancis, Toma Popov selepas menewaskan Raul Must dari Estonia 21-14, 21-12.

Cabaran buat saya bukan mudah kerana dia (Popov) berada di kedudukan lebih baik dari segi ranking.

Bagaimanapun, saya percaya mampu memberikan cabaran,” katanya.

Turut beraksi di kejohanan itu ialah pasangan beregu wanita, Anna Cheong-Yap Cheng Wen.

Dalam perkembangan berbeza, perseorangan lelaki, Justin Hoh akan turun beraksi dalam pusingan pertama Cabaran Antarabangsa Slovenia selain akan beraksi bersama Mohd. Fazriq Razif dalam acara beregu lelaki.

Selain mereka, Yeoh Seng Zoe juga akan turut bersaing selain V. Eveshgaran dan Siti Nurshuhaini Azman dalam acara perseorangan wanita.

Siti Nurshuhaini juga akan beraksi dalam acara beregu wanita bersama Khor Jing Wen dan satu lagi pasangan negara, Low Yeen Yuan-Velerie Siow.1

__________________________________________________

Rabu, 12 Mei 2021

Soniia dalam dilema

Oleh Ammar Hakim 12 Mei 2021 56



Soniia dalam dilema

Perseorangan wanita profesional negara, Soniia Cheah, dalam dilema untuk menyertai jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berlatih untuk persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo Julai depan.

Ini kerana dia perlu berkorban, meninggalkan segala komitmen di dunia luar dalam tempoh sebulan setengah seandainya bersetuju dengan syarat gelembung sukan yang ditetapkan.

Pihak BAM sudah pun menghubungi Soniia untuk menjemputnya menyertai sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Soniia yang sepatutnya melapor diri 30 Mei depan meminta penangguhan kerana polisi BAM ketika ini, adalah pemain tidak boleh keluar daripada pusat latihan itu bagi mengelak gelembung sukan mereka ditembusi wabak Covid-19.

"Mereka telah memberikan tarikh 30 Mei untuk menyertai kem latihan sehingga saingan Sukan Olimpik. Saya perlu kekal di sana sehingga saingan Sukan Olimpik namun sebagai pemain profesional terdapat perkara yang perlu saya lakukan serta komitmen perlu dilaksanakan," kata Soniia.

Dalam masa sama, Soniia turut mengambil keputusan saat akhir menarik diri daripada saingan Terbuka Singapura yang berlangsung 1 Jun depan memandangkan ia bakal menelan kos sekitar RM15,000.

Tanpa menyertai saingan terakhir yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo, Soniia dilihat tetap dalam kedudukan selesa untuk layak ke temasya itu.1

___________________________________________