Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
CHONG Wei mara ke final Terbuka
Hong Kong selepas menewaskan pemain tuan rumah, Angus Ng pada aksi separuh
akhir di Hong Kong Coliseum semalam.
JAGUH badminton negara, Datuk
Lee Chong Wei hanya tinggal selangkah sahaja lagi untuk meraih gelaran kelima
musim ini apabila mara ke final Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Hong
Kong hari ini.
Pemain berusia 33 tahun itu
meneruskan cabaran pada kejohanan di Kowloon itu selepas menewaskan wakil tuan
rumah, Angus Ng 21-19, 21-14 pada aksi separuh akhir di Hong Kong Coliseum
semalam.
Angus yang kini berada di
ranking ke-22 dunia memulakan set pertama dengan aksi yang agresif untuk
mendahului 6-0 sebelum Chong Wei mula mengutip tiga mata pertama perlawanan.
Corak permainan yang lebih
tersusun membuatkan pemain berusia 21 tahun itu mudah menguasai awal set
pertama, namun sebaik sahaja Chong Wei mendapat rentak, dia mula mengejar untuk
merapatkan jurang mata.
Permainan juga agak terganggu
apabila jari tangan kanannya melecet dan berdarah terkena permukaan lantai
gelanggang ketika mahu menyelamat pukulan smash lawannya itu. Namun kecederaan
kecil itu langsung tidak menyekat kebangkitannya, sekali gus menamatkan set
pertama itu dengan kemenangan 21-19 dalam tempoh 24 minit.
Aksi pada set kedua kelihatan
lebih memihak kepada Chong Wei, walaupun mudah mengutip lapan mata untuk
mendahului 18-9 pada penghujung perlawanan tetapi dia turut dikejutkan dengan
kebangkitan Angus yang sempat meraih lima mata.
Bagaimanapun, Chong Wei yang
tersentak dengan kebangkitan lawannya itu segera menyusun strategi untuk
kembali mendominasi permainan, sekali gus mengesahkan kemenangan set kedua
dengan keputusan 21-14.
Jurulatih perseorangan negara,
Tey Seu Bock memuji semangat yang dipamerkan Chong Wei walaupun dia kelihatan
agak letih ekoran aksi yang sengit ketika menewaskan pemain China, Chen Long
pada aksi suku akhir kelmarin.
“Saya nampak permulaan agak
perlahan mungkin dia keletihan selepas bertarung sengit dengan Chen Long
semalam (kelmarin) tetapi selepas berjaya mengatasi masalah itu, dia mula
menunjukkan prestasi yang luar biasa.
“Saya juga mahu beri kredit
kepada pemain muda Hong Kong ini kerana dia sangat bersemangat, tidak mudah
mengaku kalah dan permainan dia juga agak matang,” kata Seu Bock ketika
dihubungi Kosmo! Ahad di Hong Kong semalam.
Chong Wei yang pernah menjuarai
Terbuka Hong Kong pada edisi 2009, 2010 dan 2013 akan bertemu pemain China,
Tian Houwei yang turut mara ke final selepas menewaskan Anthony Ginting dari
Indonesia dengan keputusan 18-21, 21-11, 21-6 dalam satu lagi aksi separuh
akhir.
Seu Bock berharap, Chong Wei
tidak mudah hilang fokus apabila berdepan dengan pemain yang turut menyimpan
hasrat untuk melakar kejutan ke atas pemain nombor satu Malaysia itu.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3sBa0UFD7
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan