Jumaat, 27 Oktober 2017

Mew Choo intai Seluruh England



Oleh RADIAH SAORI
radiah@kosmo.com.my
MEW CHOO bertekad untuk menjadi pemain wanita negara pertama yang berjaya menjuarai kejohanan Seluruh England bulan depan.

WONG MEW CHOO yakin mencipta kejutan pada Kejohanan Badminton Seluruh England.

Tetapi dengan syarat iaitu kecederaan yang membelenggunya selama ini pulih sepenuhnya.

Menurut pemain kelahiran Perak itu, dia mempunyai keyakinan yang tinggi untuk menjadi pemain wanita pertama negara yang meraih kejayaan pada Seluruh England terutama selepas mencipta sejarah menjuarai Terbuka China tahun lepas.

"Saya percaya, saya mempunyai peluang pada Seluruh England tahun ini," kata Mew Choo kepada KOSMO! semalam.

"Selepas meraih kejayaan pada Terbuka China, tiada apa yang mustahil dan saya juga boleh meraih kejayaan pertama pada Seluruh England jika tahap kecergasan berada pada tahap terbaik."

Kecederaan lutut yang dialaminya sering mengganggu prestasi Mew Choo dan dia terpaksa menarik diri daripada temasya Sukan SEA XXIV di Korat tahun lepas.

Malah menurut Mew Choo, dia masih perlu mendapatkan rawatan terutama selepas beraksi.

Katanya, dia akan menjadikan kejohanan kelayakan Piala Uber di Vietnam bulan ini sebagai persiapan terbaik menghadapi Seluruh England.

Dia turut mempunyai keyakinan bahawa skuad Malaysia mampu meraih kejayaan dan mara ke pusingan akhir yang bakal diadakan di Jakarta, Indonesia, Mei ini.

"Saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap barisan pemain negara pada tahun ini," tambah Mew Choo.

"Saya percaya kita mampu melangkah ke pusingan akhir. Namun, kami harus berhati-hati terhadap pasukan dari Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Thailand.

Selain Mew Choo, turut terpilih mewakili negara pada pusingan kelayakan Piala Uber bulan ini termasuklah Julia Wong Pei Xian, Anita Raj Kaur, Lydia Cheah Li Ya serta pasangan beregu Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, Lim Pek Siah-Haw Chiou Hwee dan Ng Hui Lin-Goh Liu Ying

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4wilUXQFl
Hakcipta terpelihara

4 pemain setuju kekal dengan skuad negara



ARKIB : 26/01/2008

KUALA LUMPUR - Persiapan skuad badminton Malaysia untuk menghadapi Sukan Olimpik kembali ke landasan sebenar apabila dua beregu lelakinya yang sebelum ini bertindak keluar daripada pasukan akan memulakan semula latihan bersama pemain-pemain kebangsaan hari ini lapor NORZIE MOHD. KHASBI.

Selepas mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong semalam, keempat-empat pemain - Tan Bin Shen, Ong Soon Hock, Gan Teik Chai dan Lin Woon Fui bersetuju untuk kembali ke pangkuan skuad negara.

Antara jaminan yang diberikan Zolkples dalam pertemuan hampir sejam itu adalah akan berbincang dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memastikan kedua-dua beregu mendapat lebih peluang menyertai kejohanan, cuba mencarikan penaja persendirian dan tidak akan meminggirkan mereka.

Menurut Zolkples, baik Bin Shen-Soon Hock, mahu pun Teik Chai-Woon Fui, kedua-duanya menegaskan bahawa tindakan keluar BAM bukan kerana mendapat tawaran daripada mana-mana kelab persendirian seperti yang didakwa, malah mereka menegaskan tidak pernah terniat untuk menyertai kelab berkenaan.

Sebaliknya, mereka hanya cuba memajukan karier dengan menganggap masa depan mereka dalam skuad kebangsaan semakin suram memandangkan tumpuan utama BAM kini lebih terarah kepada tiga pasangan utamanya yang berada dalam program Olimpik Beijing.

"Mereka berasakan bahawa karier mereka seperti sudah tenggelam kerana dalam program Olimpik tumpuan lebih diberikan kepada tiga beregu utama yang akan beraksi di Beijing, jadi adalah menjadi tanggungjawab kami (MSN dan BAM) membantu kedua- dua beregu ini kembali memajukan karier mereka. Pada kami, mereka merupakan beregu yang berpotensi, malah prestasi mereka juga tidaklah terlalu jauh dibandingkan dengan tiga beregu utama, jadi adalah sesuatu yang merugikan buat negara jika kita kehilangan pemain seperti ini.

"Kita akan cuba membantu masalah mereka, apatah lagi saya fikir keadaan masih lagi terkawal dan boleh dikawal. Kita hanya mahu yang terbaik untuk pemain-pemain dan pasukan badminton,'' kata Zolkples.

Menurut Zolkples, kepulangan semula Bin Shen-Soon Hock dan Teik Chai-Woon Fui telah menamatkan semua isu dan kembali membentuk suasana harmoni dalam pasukan kebangsaan, sekali gus memastikan persiapan badminton Malaysia menjelang Sukan Olimpik, Ogos ini kini kembali ke landasan terbaik.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4whkF7QRI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 23 Oktober 2017

Mew Choo jumpa Zhu Lin



ARKIB : 19/01/2008

Wong Mew Choo membalas pukulan Eriko Hirose dari Jepun pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2008 di Stadium Putra, semalam. Mew Choo menang untuk ke pusingan separuh akhir. – Gambar ASWAD YAHYA.

KUALA LUMPUR – Ratu badminton negara, Wong Mew Choo menempah pertemuan dengan juara dunia, Zhu Lin pada separuh akhir Terbuka Malaysia hari ini selepas mempamer aksi yang dianggap ‘lekeh’ ketika melepasi halangan pemain Jepun, Eriko Hirose dalam saingan suku akhir semalam.

Mengekori kemaraan Mew Choo ke separuh akhir hari ini adalah jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Chong Wei yang tidak menghadapi masalah menewaskan pemain muda Indonesia, Simon Santoso 21-13, 21-13.

Semalam, Mew Choo meresahkan hampir 5,000 penonton di Stadium Putra, Bukit Jalil apabila kalah dalam set pembukaan, kurang fokus pada set kedua dan dipaksa bangkit daripada ketinggalan di set ketiga sebelum menang 16-21, 23-21, 21-14 dalam masa 59 minit.

Kemenangan itu membolehkan dia mengulangi pertemuan dengan Zhu Lin, pemain yang mengecewakannya pada perlawanan akhir tahun lalu selepas bintang China itu mencatat kemenangan mudah 21-10, 21-11 ke atas pemain Hong Kong, Wang Chen.

Bagaimanapun Mew Choo mengakui, aksi buruk yang dipamerkan semalam menyebabkan dia tidak berani meletakkan harapan tinggi untuk membalas dendam atas kekalahannya kepada bintang China itu, tahun lalu.

“Melihat kepada permainan saya hari ini (semalam), tidak banyak yang boleh diharapkan daripada perlawanan esok (hari ini). Saya rasa amat tegang sepanjang masa, terlalu banyak berfikir dan bermain dengan teruk hari ini.

“Saya cuma dapat berharap saya tidak akan mengulangi kesilapan itu apabila menentang Zhu Lin,” kata Mew Choo.

Meskipun kalah kepada Zhu Lin dalam perlawanan akhir Terbuka Malaysia tahun lalu, namun Mew Choo berjaya menundukkan pemain nombor tiga dunia itu 18-21, 21-9, 21-13 pada pertemuan terakhir mereka di suku akhir Terbuka China, November lalu.

Begitu pun, rekod pertemuan keseluruhan tetap berpihak kepada Zhu Lin yang memenangi tiga daripada empat pertemuan termasuk di Kejohanan Dunia, Ogos lalu.

Zhu Lin merupakan satu-satunya perseorangan wanita China yang akan beraksi pada separuh akhir hari ini selepas cabaran seorang lagi jaguh mereka dan pemain nombor empat dunia, Lu Lan berakhir dengan kekalahan mengejut 12-21, 21-16, 16-21 di tangan pemain Denmark, Tina Rasmussen.

Rasmussen, pemain nombor 10 dunia akan menentang seorang lagi wakil Eropah, Pi Hongyan dari Perancis yang mara selepas mengetepikan Yu Hirayama dari Jepun 21-13, 21-9.

Sementara itu, ramalan bahawa Chong Wei bakal menerima tentangan sengit daripada bintang sedang meningkat Indonesia, Simon meleset sama sekali apabila pemain nombor dua itu mengawal permainan sepenuhnya dan memenangi perlawanan hanya dalam masa 33 minit.

Sementara itu, beregu veteran negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah mempamerkan aksi paling

buruk dalam set penentuan apabila hanya mampu mengutip enam mata sebelum tunduk 16-21, 21-16, 6-21 kepada pasangan Denmark, Lars Paaske-Jonas

Rasmussen pada suku akhir Terbuka Malaysia semalam.

Kekalahan juara 2004 itu melengkapkan kempen buruk beregu lelaki negara di Stadium Putra, Bukit Jalil apabila terdahulu Chew Choon Eng-Chan Chong Ming tumpas 12-21, 13-21 kepada bekas pasangan nombor satu dunia, Fu Haifeng Cai Yun.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4wOh3bwJF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kien Keat-Boon Heong kalah



ARKIB : 18/01/2008
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
BEREGU Denmark, Lars Paaske dan Jonas Rasmussen (depan) gembira meraikan kejayaan menewaskan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR – Beregu nombor satu dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjadi mangsa kejutan terbesar pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia semalam apabila tersingkir daripada pusingan kedua selepas kalah mengejut kepada pasangan Denmark, Lars Paaske-Jonas Rasmussen.

Aksi goyah penyandang juara itu sudah pun diperlihatkan sejak awal permainan apabila tewas di set pembukaan, sebelum kegugupan Boon Heong dihukum sepenuhnya oleh pasangan berpengalaman Denmark itu untuk mencatat kemenangan 21-19, 18-21, 21-16.

Begitu pun, harapan peminat badminton tanahair untuk melihat gelaran beregu lelaki yang dimenangi oleh Kien Keat-Boon Heong tahun lalu kekal milik Malaysia masih boleh disandarkan kepada juara 2004, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan bekas beregu nombor satu dunia, Chew Choon Eng-Chan Chong Ming yang berjaya melangkah ke suku akhir.

Ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky berkata, kekalahan Kien Keat-Boon Heong tidak langsung menjejaskan impian Malaysia untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik, malah tidak juga mendorongnya menekan ‘butang kecemasan’.

“Saya kena kuatkan semangat mereka, saya kena kekal kepada pendirian bahawa sasaran kita tahun ini adalah Sukan Olimpik bukan sekadar Terbuka Malaysia atau kejohanan terbuka lain.

“Kalau anda tanya kepada saya, adakah saya masih yakin pasangan ini akan memenangi pingat emas Olimpik ? Jawapan saya, ya. Mereka mungkin tidak bermain baik hari ini tetapi mereka masih pasangan terbaik di dunia,” kata Rexy semalam.

Paaske-Rasmussen kini akan mencabar beregu nombor dua negara, Tan Fook-Wan Wah yang melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pasangan senegara, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock 19-21, 21-18, 21-18.

Choon Eng-Chong Ming, yang kembali bergandingan selepas dipisahkan sejak Sukan Olimpik 2004 meneruskan permainan yang meyakinkan ketika menyingkirkan pasangan utama Taiwan, Tsai Chia Hsin-Hu Chung Shien 21-13, 13-21, 21-14.

Cabaran negara pada suku akhir hari ini turut diteruskan oleh dua perseorangan utamanya, Lee Chong Wei dan Wong Mew Choo dalam saingan lelaki dan wanita.

Chong Wei mengetepikan pemain Poland, Wacha Przemyslaw 21-5, 15-21, 21-8 untuk menempah pertemuan dengan pemain muda Indonesia, Simon Santoso, yang mengejutkan rakan senegara dan juara Olimpik, Taufik Hidayat 21-18, 21-16.

Mew Choo pula tidak menghadapi masalah untuk melepasi pemain tidak ternama Switzerland, Jeanine Cicognini 21-14 21-10 untuk menempah pertemuan dengan pemain Jepun, Eriko Hirose.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4wORXsZrY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kien Keat, Boon Heong kini No. 3



 
Oleh RADIAH SAORI
radiah@kosmo.com.my
PRESTASI kurang konsisten menyaksikan kedudukan Kien Keat (kiri) dan Boon Heong dalam ranking dunia jatuh ke tangga ketiga semalam.

BEREGU emas negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kehilangan takhta No. 1 dunia yang dipegang sejak 11 Oktober tahun lepas apabila ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (WBF) dikeluarkan semalam.

Kien Keat-Boon Heong yang digandingkan bersama pada hujung tahun 2006, jatuh dua kedudukan untuk berada pada ranking ketiga dunia selepas tersingkir pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia minggu lepas.

Malah, ranking juara Seluruh England 2007 itu juga dijangka akan terus jatuh minggu depan setelah menarik diri pada Terbuka Korea minggu ini.

Kien Keat-Boon Heong yang menjadi harapan negara untuk meraih pingat emas pertama pada Sukan Olimpik di Beijing Ogos ini, gagal mempamerkan aksi memuaskan pada beberapa kejohanan penting termasuklah pada Kejohanan Dunia Ogos tahun lepas serta Terbuka Malaysia baru-baru ini.

Jika mereka gagal kembali berada di puncak, Kien Keat-Boon Heong dijangka menerima undian sukar di Beijing kelak.

Ranking pertama dunia kini dimiliki beregu Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan sementara Cai Yun-Fu Haifeng dari China naik satu kedudukan untuk berada pada ranking kedua dunia.

Sementara itu, beregu veteran negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah kekal di ranking kelima manakala beregu muda, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari naik dua kedudukan untuk berada pada ranking ke-14 dunia.

Dalam pada itu, pemain perseorangan utama negara, Lee Chong Wei dan ratu badminton negara, Wong Mew Choo turut kekal masing-masing pada ranking kedua dan kelapan dunia.

Chong Wei yang baru sahaja menjuarai Terbuka Malaysia minggu lepas, masih jauh ketinggalan di belakang pemain China, Lin Dan yang kekal sebagai pemain No. 1 dunia.

Empat lagi pemain lelaki perseorangan negara menduduki ranking ke-16 hingga 19 dunia. Pemain veteran, Wong Choong Hann, Muhammad Hafiz Hashim dan Lee Tsuen Seng kekal berada pada ranking ke-16, 17 dan 18 manakala Muhd. Roslin naik satu kedudukan untuk ranking ke-19 dunia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4wLTC9jQ6
Hakcipta terpelihara