Selasa, 17 Oktober 2017

Tinggal Khim Wah-Hui Lin teruskan cabaran remaja dunia



ARKIB : 04/11/2007

KUALA LUMPUR – Harapan Malaysia untuk membawa pulang Kejuaraan Badminton Remaja Dunia kini bergantung kepada Lim Khim Wah-Ng Hui Lin selepas wakilnya yang lain gagal meneruskan cabaran ke perlawanan akhir.

Khim Wah-Hui Lin memastikan Jalur Gemilang terus berkibar di Auckland, New Zealand apabila melepasi saingan separuh akhir beregu campuran, semalam.

Pilihan kedua kejohanan itu hanya mengambil masa 22 minit untuk menewaskan pasangan dari Indonesia, Afiat Yuris Wirawan- Debby Susanto 21-16, 21-8.

Mereka kini akan menentang pilihan ketiga dari England, Chris Adcock-Gabrielle White, yang mara selepas mengalahkan beregu Korea Selatan, Shin Baek Choel-Yoo Hyun Young 22-20, 21-16.

Sementara itu, hasrat Malaysia untuk menyaksikan dua pasangannya bertemu sesama sendiri pada perlawanan akhir beregu lelaki bukan saja tidak kesampaian, malah tidak akan memiliki seorang pun wakil di final.

Kekecewaan negara bermula dengan kekalahan mengejut pilihan kedua, Lim Khim Wah-Mak Hee Chun yang tewas 13-21, 13-21 kepada pasangan bukan pilihan Chung Eui Seok-Shin Baek Choel dari Korea Selatan.

Ia kemudian disusuli dengan kekalahan 12-21, 16-21 yang diterima pasangan Ong Jien Guo-Goh Wei di tangan pilihan pertama, Li Tian-Chai Biao dari China.

Dalam saingan beregu perempuan, kecemerlangan Ng Hui Lin-Goh Liu Ying berakhir di separuh akhir.

Selepas mencatat beberapa kejutan dalam laluan ke separuh akhir, pasangan negara itu akhirnya akur kepada pilihan kedua, Yoo Hyun Young-Jung Kyung Eun dari Korea Selatan apabila tewas 11-21, 12-21.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4vlHNcpW7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan