Jumaat, 13 Oktober 2017

Tinggal Tan Fook-Wan Wah



 
ARKIB : 18/08/2007
Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI
CHOONG Tan Fook (kiri) dan Lee Wan Wah meraikan kejayaan ke separuh akhir, semalam. – Gambar AZLAN BAHRUM.

KUALA LUMPUR – Harapan rakyat Malaysia untuk memiliki juara dunia pertama dalam tempoh 30 tahun kini digalas sepenuhnya oleh beregu senior, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang menjadi wakil tunggal negara melangkah ke separuh akhir Kejohanan Dunia, semalam pada ketika beregu emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kalah mengejut pada saingan suku akhir.

Mereka akan bertemu pasangan Indonesia Markis Kido-Hendra Setiawan pada separuh akhir, hari ini.

Tan Fook-Wan Wah menggembirakan 10,000 penonton di Stadium Putra, Bukit Jalil dengan membenam juara dunia dan beregu nombor satu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China 15-21, 21-18, 21-19 pada perlawanan sebelah petang, namun beberapa jam kemudian Kien Keat-Boon Heong yang menjadi pertaruhan utama negara memberi tamparan kepada penyokong setia Malaysia apabila tersungkur 13-21, 21-17, 23-25 kepada pasangan Jepun, Shuichi Sakamoto-Shintaro Ikeda.

Terdahulu, kempen Malaysia dalam saingan wanita juga berakhir dengan kekalahan perseorangan utamanya, Wong Mew Choo dan pasangan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui di suku akhir, namun selepas mempamer aksi terpuji dan memberi cabaran sengit kepada lawan dari China sebelum mengaku kalah.

Tan Fook-Wan Wah mempamerkan permainan terbaik mereka ketika menjinakkan pasangan pilihan yang dianggap “superstar” kejohanan, Haifeng-Cai Yun dalam perlawanan menarik dan mendebarkan yang berlarutan selama 60 minit.

Walaupun rekod pertemuan kedua-dua beregu terikat 4-4, namun pasangan veteran Malaysia itu tidak pernah memenangi dua perlawanan mereka sepanjang tahun ini, kalah pada suku akhir Terbuka Indonesia dan final Terbuka Singapura, Mei lalu.

Dengan mendapat sokongan penonton, Tan Fook-Wan Wah bangkit daripada kekalahan 15-21 dalam set pembukaan dan mempamer aksi lebih baik pada dua set terakhir untuk menempah pertemuan dengan pemenang di antara bekas juara dunia dan Olimpik, Candra Wijaya-Tony Gunawan dari Indonesia/Amerika Syarikat atau pasangan nombor tiga dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia.

‘‘Saya harap ini bukan permainan terbaik kami kerana kami mahu melakukan yang lebih baik dalam dua baki perlawanan. Merangkul kejuaraan lebih menggembirakan daripada melakar kejutan, sudah tentu kami mahu memperbaiki pencapaian pingat gangsa yang dilakukan di Seville pada 2001.

‘‘Apa pun, ini merupakan kemenangan yang amat manis kerana ia dilakukan di depan penyokong sendiri. Saya berterima kasih kepada jurulatih dan semua peminat yang terus memberi sokongan kepada kami biar pun ada ketika ketinggalan, selain banyak kali juga melakukan kesilapan,” kata Wan Wah.

Kien Keat-Boon Heong, yang menjadi sandaran utama negara untuk memberikan kejuaraan dunia pertamanya dalam tempoh 30 tahun tergamam dengan pertahanan mantap dan permainan pantas pasangan Jepun, yang hanya turun sebagai pilihan ke-16.

Kalah mudah pada set pertama, juara Seluruh England, Terbuka Switzerland dan Terbuka Malaysia itu bangkit dengan aksi lebih meyakinkan ketika memenangi set kedua, tetapi kesilapan demi kesilapan pada saat genting di set ketiga, termasuk kegagalan Kien Keat membalas hantaran Shuichi membenarkan lawan merakam kejutan paling besar.

‘‘Kami sudah memberikan yang terbaik tetapi strategi permainan mereka pantas dan pertahanan pasangan Jepun yang mantap memberi perubahan besar dalam perlawanan ini. Saya minta maaf di atas kekalahan ini, namun ini bukan pengakhir segalanya kami pasti bangkit dan sudah mula mengintai Sukan Olimpik,” kata Kien Keat.

Dalam saingan wanita, Mew Choo, yang mengejutkan penyandang juara, Xie Xingfang pada pusingan ketiga kelmarin memberi tentangan hebat kepada seorang lagi pemain China, Zhu Lin, namun terpaksa akur dengan kekalahan 17-21, 21-13, 16-21.

Pei Tty-Eei Hui juga memberikan tentangan sengit kepada juara Olimpik, Yang Wei-Zhang Jiewen pada set pertama sebelum mengaku kalah 20-22, 12-21.

Sementara itu, kisah dongeng pemain India, Anup Sridhar berakhir di tangan juara dunia, Lin Dan apabila tumpas 20-22, 9-21.

Lin Dankini menjadi calon utama untuk mempertahankan kejuaraan selepas ketiadaan Taufik dan Chong Wei akan menentang rakan senegara dan naib juara tahun lalu, Bao Chunlai yang mengalahkan jaguh Denmark, Kenneth Jonassen 21-18, 21-15.

Satu lagi perlawanan separuh akhir pula menemukan pemain remaja China, Chen Yu dengan perseorangan kedua Indonesia, Sony Dwi Kuncoro. Chen Yu menewaskan Ronald Susilo dari Singapura 21-14 di suku akhir, manakala Sony mengetepikan juara Eropah, Peter Gade dari Denmark 22-20, 21-18.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vOiv5gt6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan