Rabu, 18 Oktober 2017

Roslin mara -- Badminton Terbuka Hong Kong



ARKIB : 30/11/2007

KUALA LUMPUR – Pemain veteran negara, Muhd. Roslin Hashim melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Siri Super buat kali kedua tahun ini selepas mengetepikan pemain nombor tiga dunia, Bao Chunlai di Terbuka Hong Kong semalam.

Bagaimanapun hasrat pemain nombor 21 dunia itu untuk menentang adiknya, Muhd. Hafiz Hashim hari ini tidak tercapai apabila Hafiz tewas kepada jaguh Denmark, Kenneth Jonassen.

Turut meneruskan cabaran ke suku akhir adalah pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei dan pasangan nombor satu dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Roslin, 32, yang merangkul kejuaraan pertamanya selepas enam tahun di Terbuka Vietnam, awal bulan ini menang 21-19 pada set pertama sebelum Chunlai, juara Terbuka China menarik diri di set kedua kerana kecederaan buku lali.

“Saya puas hati dengan permainan set pertama kerana semua berjalan mengikut rancangan tetapi tidak sangka pula ia menjadi lebih mudah apabila Chunlai menarik diri di set kedua.

“Harap saya dapat mengekalkan rentak permainan apabila menentang Kenneth esok. Jika saya boleh bermain baik seperti hari ini, saya boleh ke separuh akhir,’’ kata Roslin, yang turut layak ke suku akhir Super Siri Terbuka Korea, Januari lalu.

Chong Wei menempah pertemuan dengan jaguh veteran Denmark, Peter Gade selepas mencatat kemenangan mudah 21-15, 21-10 ke atas rakan senegara, Lee Tsuen Seng.

Juara Seluruh England, Kien Keat-Boon Heong pula dipaksa beraksi tiga set sebelum menundukkan beregu Thailand, Sudket Prapakamol-Phattapol Ngensrisuk 21-11, 17-21, 21-9 untuk bertemu beregu berpengalaman, Candra Wijaya-Tony Gunawan.

Sementara itu, Hafiz mempamerkan aksi tidak bermaya, terutama pada set kedua ketika kalah 19-21, 5-21 kepada Kenneth manakala Kay Bin tewas 17-21, 13-21 kepada naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia.

Malah, semalam juga bukan hari yang baik buat Yeoh Kay Bin dan dua pasangan lelaki, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock dan Lim Khim Wah-Mak Hee Chun.

Bin Shen- Soon Hock nyata gemuruh berdepan Candra-Tony apabila tunduk 12-21, 5-21, manakala pasangan muda, Khim Wah- Hee Chun tumpas 13-21, 14-21 kepada beregu Poland, Michal Logosz-Robert Mateusiak.

Turut gagal meneruskan kemaraan adalah pasangan wanita nombor satu Malaysia, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, yang tewas mudah 10-21, 13-21 kepada Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna dari Jepun.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4vsan1xAR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan