Isnin, 23 Oktober 2017

Kien Keat, Boon Heong kini No. 3



 
Oleh RADIAH SAORI
radiah@kosmo.com.my
PRESTASI kurang konsisten menyaksikan kedudukan Kien Keat (kiri) dan Boon Heong dalam ranking dunia jatuh ke tangga ketiga semalam.

BEREGU emas negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kehilangan takhta No. 1 dunia yang dipegang sejak 11 Oktober tahun lepas apabila ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (WBF) dikeluarkan semalam.

Kien Keat-Boon Heong yang digandingkan bersama pada hujung tahun 2006, jatuh dua kedudukan untuk berada pada ranking ketiga dunia selepas tersingkir pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia minggu lepas.

Malah, ranking juara Seluruh England 2007 itu juga dijangka akan terus jatuh minggu depan setelah menarik diri pada Terbuka Korea minggu ini.

Kien Keat-Boon Heong yang menjadi harapan negara untuk meraih pingat emas pertama pada Sukan Olimpik di Beijing Ogos ini, gagal mempamerkan aksi memuaskan pada beberapa kejohanan penting termasuklah pada Kejohanan Dunia Ogos tahun lepas serta Terbuka Malaysia baru-baru ini.

Jika mereka gagal kembali berada di puncak, Kien Keat-Boon Heong dijangka menerima undian sukar di Beijing kelak.

Ranking pertama dunia kini dimiliki beregu Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan sementara Cai Yun-Fu Haifeng dari China naik satu kedudukan untuk berada pada ranking kedua dunia.

Sementara itu, beregu veteran negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah kekal di ranking kelima manakala beregu muda, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari naik dua kedudukan untuk berada pada ranking ke-14 dunia.

Dalam pada itu, pemain perseorangan utama negara, Lee Chong Wei dan ratu badminton negara, Wong Mew Choo turut kekal masing-masing pada ranking kedua dan kelapan dunia.

Chong Wei yang baru sahaja menjuarai Terbuka Malaysia minggu lepas, masih jauh ketinggalan di belakang pemain China, Lin Dan yang kekal sebagai pemain No. 1 dunia.

Empat lagi pemain lelaki perseorangan negara menduduki ranking ke-16 hingga 19 dunia. Pemain veteran, Wong Choong Hann, Muhammad Hafiz Hashim dan Lee Tsuen Seng kekal berada pada ranking ke-16, 17 dan 18 manakala Muhd. Roslin naik satu kedudukan untuk ranking ke-19 dunia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4wLTC9jQ6
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan