Jumaat, 20 Oktober 2017

Choong Hann kerah kudrat



ARKIB : 09/01/2008

KUALA LUMPUR – Jaguh veteran negara, Wong Choong Hann masih mempunyai kredibiliti untuk mencabar pingat Sukan Olimpik jika berjaya melayakkan diri ke temasya di Beijing itu, tegas jurulatih kebangsaan, Wong Tat Meng, lapor NORZIE MOHD. KHASBI.

Kata Tat Meng, beliau tidak pernah meragui keupayaan Choong Hann yang bakal mencecah usia 31 tahun pada 17 Februari ini, sebaliknya yakin anak didiknya itu mampu kembali dalam kelompok terbaik dunia tahun ini.

Choong Hann kini bersaing sengit dengan anak didik Misbun Sidek, Muhd. Hafiz Hashim untuk memburu slot perseorangan kedua pada ketika tiket perseorangan pertama hampir pasti menjadi milik pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei.

Malah, pemain kelab seperti Mohd. Roslin Hashim (Nusa Mahsuri) dan Lee Tsuen Seng (Kelab Raket Kuala Lumpur) juga berpotensi untuk mengisi slot kedua itu.

Kelayakan Sukan Olimpik akan berlangsung sehingga penghujung April ini, di mana dalam tempoh empat bulan dari sekarang ada empat kejohanan Siri Super yang bakal disertainya iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka Korea, Seluruh England dan Terbuka Switzerland.

‘‘Pada saya Choong Hann masih berada dalam kelas yang tinggi dan merupakan pencabar utama kepada pemain-pemain di kelompok teratas dunia. Jika dia mampu beraksi konsisten tahun ini, dia boleh memberikan cabaran serius pada 2008.

‘‘Malah, saya juga percaya jika dia berpeluang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik, tidak mustahil Choong Hann mampu menjadi pencabar utama pingat,’’ kata Tat Meng selepas sesi latihan menjelang Kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

Menurut Tat Meng, daripada segi taktikal dan fizikal, bekas perseorangan utama negara itu masih memiliki sentuhan dan kepantasan yang mampu mengembalikannya ke kedudukan lapan terbaik dunia.

Malah, beliau menganggap prestasi pemain kelahiran Kuala Lumpur itu sepanjang tahun lalu juga memuaskan dengan mengambil kira dia baru kembali pulih daripada kecederaan buku lali yang serius ketika membantu Malaysia mengalahkan Korea Selatan pada suku akhir Piala Thomas, Mei 2006.

‘‘Dia berjaya muncul naib juara dua kali, selain melangkah ke separuh akhir pada Terbuka Macau. Saya percaya, kejayaan melayakkan diri ke perlawanan akhir China Masters membuktikan bahawa Choong Hann mempunyai keupayaan untuk kembali ke prestasi terbaik.

‘‘Bagaimanapun saya sering menegaskan kepadanya, jika mahu beraksi di Olimpik dan mendapat kepercayaan mewakili negara pada kejohanan-kejohanan utama tahun ini, rekod lalu tidak memainkan banyak peranan.

‘‘Sebaliknya, empat bulan akan datang ini merupakan tempoh paling kritikal. Ia adalah tempoh untuk kelayakan Olimpik, kemudian kita menghadapi kelayakan dan pusingan akhir Piala Thomas. Turut berlangsung dalam tempoh itu adalah Seluruh England,’’ katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4w7aO3RKN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan