Rabu, 4 Oktober 2017

3 pemain kita ke final



ARKIB : 22/07/2007

KUALA LUMPUR – Lee Chong Wei tidak perlu mengerah keringat manakala Koo Kiet Keat-Tan Boon Heong hanya perlu beraksi selama 15 minit untuk melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Filipina di Manila, semalam.

Kedua-dua wakil negara itu bagaimanapun berdepan pemain China dalam halangan akhir untuk memburu kejuaraan yang bakal menjadi bekalan terakhir untuk dibawa pada Kejohanan Dunia di Kuala Lumpur, bulan depan.

Chong Wei, 25, tidak perlu turun gelanggang untuk mengetepikan Sony Dwi Kuncoro selepas jaguh Indonesia itu menarik diri kerana sakit belakang.

Bagaimanapun, perseorangan utama negara itu perlu berdepan pemain nombor dua dunia, Chen Hong untuk memburu kejuaraan keduanya tahun ini selepas Terbuka Indonesia.

Semalam, Chen Hong, pilihan pertama hanya memerlukan 37 minit untuk menewaskan pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan 21-16, 21-19.

Rekod pertemuan berpihak kepada Chen Hong, yang menang lima daripada sembilan perlawanan mereka, namun Chong Wei memenangi tiga pertemuan terakhir kedua-dua pemain, termasuk pada Terbuka Indonesia, Mei lalu.

Sementara itu, Kien Keat-Boon Heong membuktikan mereka sudah kembali ke tahap terbaik ketika Kejohanan Dunia tinggal kurang sebulan untuk bermula apabila menang mudah 21-4, 21-12 ke atas Han Sang Hoon-Cho Gun Woo dari Korea Selatan.

Beregu pilihan pertama itu yang memburu kejuaraan keempat pada 2007 selepas menang Terbuka Malaysia, Seluruh England dan Terbuka Switzerland akan bertemu beregu nombor 47 dunia, Guo Zhendong-Xie Zhongbo.

Walaupun lawan yang bakal dinanti, Zhendong- Zhongbo bukanlah pasangan handalan dan hanya berada pada ranking 47, namun beregu China itu telah mencatat beberapa keputusan mengejut pada kejohanan ini.

Semalam, Zhendong-Zhongbo mengejutkan pilihan keempat, Albertus Susanto Njoto-Yohan Hadikusumo Wiratama dari Hong Kong 21-17, 21-17 hanya dalam masa 38 minit.

Dua hari sebelum itu, mereka melakar kejutan terbesar ke atas pilihan kedua dan bekas juara dunia, Candra Wijaya-Tony Gunawan 21-16, 21-16.

Zhendong-Zhongbo yang menumpaskan pasangan negara, Chan Chong Ming-Hoon Thien How 21-11, 21-16 pada pusingan pertama kemudian mengejutkan pilihan kelapan, Luluk Hadiyanto-Alevent Yulianto dari Indonesia 18-21, 21-15, 21-17 di suku akhir.

‘‘Saya gembira melihat Koo-Tan berjaya memenangi perlawanan mereka tetapi sasaran utama adalah muncul juara.

‘‘Saya harap mereka dapat melakukannya esok, sekaligus kembali di landasan terbaik menjelang Kejohanan Dunia,’’ kata jurulatih beregu, Rexy Mainaky.

Saingan akhir perseorangan wanita pula menemukan pemain muda China, Zhu Jingjing dengan bekas utama negara itu yang kini mewakili Hong Kong, Zhou Mi.

Kejuaraan beregu wanita pula akan ditentukan oleh pilihan pertama, Chen Yu Chin-Cheng Wen Hsing dari Taiwan yang menentang beregu baru China, Pan Pan-Tian Qing.

KEPUTUSAN (separuh akhir)

LELAKI, perseorangan: Chen Hong (Chn) kln Park Sung Hwan (Kor) 21-16, 21-19; LEE CHONG WEI kln Sony Dwi Kuncoro (Ina) menang percuma

Beregu: KOO KIEN KEAT-TAN BOON HEONG kln Han Sang Hoon-Cho Gun Woo (Kor) 21-4, 21-12; Guo Zhendong-Albertus Susanto Njoto-Yohan Hadikusumo Wiratama (Hkg) 21-17, 21-17

WANITA, perseorangan: Zhou Mi (Hkg) kln Juliane Schenk (Ger) 21-14, 17-21, 21-12; Zhu Jingjing (Chn) Adriyanti Firdasari (Ina) 21-13, 22-20

Beregu: Pan Pan-Tian Qing (Chn) kln Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna (Jpn) 21-12, 11-21, 21-9; Chien Yu Chin-Cheng Wen Hsing (Tpe) kln Jo Novita-Greysia Polii (Ina) 21-17, 24-22

Beregu campuran: Han Sang Hoon-Hwang Yu Mi (Kor) kln Hwang; Flandy Limpele-Vita Marissa (Ina) 23-21, 11-21, 21-19; Nova Widianto-Lilyana Natsir (Ina) kln Kunchala Voravichitchaikul-Songphon Anugritayawon (Tha) 21-14, 21-18

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4uXfj4OAj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan