Selasa, 3 Oktober 2017

Choong Hann naib juara



ARKIB : 16/07/2007

KUALA LUMPUR – Hajat pemain veteran negara, Wong Choong Hann untuk menamatkan kemarau empat tahun tanpa kejuaraan berakhir dengan kekalahan kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan pada perlawanan akhir kejohanan badminton China Masters di Chengdu, semalam.

Choong Hann, 30, yang kali terakhir merangkul gelaran antarabangsa pada Terbuka Taiwan 2003 tumpas 19-21, 9-21 dalam masa 32 minit.

Biar pun kalah, kejayaan muncul naib juara kejohanan Super Siri bernilai AS$250,000 itu membuktikan dia kini berada di landasan tepat untuk kembali dalam kelompok pemain terbaik dunia.

Bagi Lin Dan, yang meraih hadiah kemenangan AS$20,000 (RM68,800), kejayaan merangkul kejuaraan keempat tahun ini memberi amaran awal kepada pencabarnya bahawa dia kini adalah calon utama untuk mempertahankan kejuaraan dunia di Kuala Lumpur, bulan depan.

Malah, jaguh perseorangan China itu juga telah menumpaskan pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei pada saingan separuh akhir kelmarin, selain menewaskan rakan senegara, Bao Chunlai di suku akhir.

Selain menjuarai China Masters, Lin Dan juga merupakan juara Seluruh England, Terbuka Korea dan Terbuka Jerman.

“Saya amat terdesak untuk memecah rentak permainan Lin Dan, dan kerap tersilap dalam mengagak pukulan.

“Apa pun, permainannya memang baik,’’ kata Choong Hann, yang membawa pulang AS$8,000 (RM27,400) selaku naib juara.

Harapan terbaru Choong Hann untuk menamatkan kemarau adalah pada Terbuka Filipina yang bermula esok, namun dia hanya mampu menonton Kejohanan Dunia tahun depan kerana gagal mendapat tempat dalam pasukan.

Sementara itu, hajat China menyapu bersih kejuaraan tidak kesampaian apabila pasangan Indonesia, Lilyana Natsir-Vita Marissa melakar kejutan terbesar dengan menewaskan pilihan kelima, Zhao Tingting-Yang Wei 12-21, 21-15, 21-16 untuk muncul juara beregu wanita.

Bagaimanapun, China tetap unggul apabila memenangi tiga kejuaraan lain - beregu lelaki, perseorangan wanita dan beregu campuran.

Juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun mengukuhkan kedudukannya menjelang Kejohanan Dunia apabila mengalahkan beregu utama Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan 21-15, 21-16 untuk menjuarai beregu lelaki.

Gelaran beregu campuran milik Zheng Bo-Gao Ling, yang mengejutkan pilihan utama, Anthony Clark-Donna Kellogg dari England 21-16, 21-17.

Juara dunia, Xie Xingfang mengalahkan rakan senegara dan pilihan utama, Zhang Ning 21-11, 8-21, 23-21.

SUMBER=Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_12.htm#ixzz4uSHYbuoX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan