ARKIB : 29/10/2007
KUALA LUMPUR - Pasangan Koo
Kien Keat-Tan Boon Heong melenyapkan sorakan penyokong tuan rumah sebelum
berjaya muncul juara beregu Terbuka Denmark pada perlawanan akhir di Arena Fyn,
Odense, semalam.
Beraksi di bawah tekanan
tinggi, beregu nombor satu negara itu mempamerkan kematangan untuk memalukan
Jens Eriksen-Martin Lungaard Hansen di tempat sendiri 14-21, 21-14, 21-12 dalam
masa 48 minit.
Diletakkan sebagai pilihan
ketiga kejohanan, Kien Keat-Boon Heong sepatutnya tidak perlu bermain hingga
tiga set apabila pada satu ketika mendahului selesa 13-10 di set pertama.
Namun, kehilangan tumpuan
akibat tekanan daripada penonton menyaksikan mereka membenarkan beregu Denmark
itu memungut enam mata berturut-turut untuk ketinggalan 13-16.
Walaupun berjaya menambah satu
mata, perasaan gementar mereka tidak dapat dibendung lagi apabila Kien
Keat-Boon Heong mudah menyerahkan lima mata berturut-turut lagi sebelum tewas
14-21.
Set kedua, pasangan negara itu
bermain lebih berhati-hati dengan saling mengejar mata demi mata yang agak
rapat.
Namun, selepas terikat 9-9,
Kien Keat-Boon Heong mula mengorak langkah dengan bermain pantas untuk
mendahului 14-10, 17-14 sebelum mengheret perlawanan ke set ketiga hasil
kemenangan 21-14.
Set ketiga, juara Seluruh
England itu bagaimanapun menerima tentangan agak mudah daripada lawan mereka.
Selepas terikat 3-3, Kien
Keat-Boon Heong memungut tiga mata berturut-turut untuk mendahului 6-3.
Dengan bijak menyerap tekanan
penonton dan asakan lawan, pasangan negara itu terus mendahului 10-5.
Ketika beregu lawan tampak
semakin longlai, kesempatan itu digunakan sebaiknya untuk memungut tujuh mata
berturut-turut untuk memimpin perlawanan dengan 17-7.
Selepas membenarkan lawan
mereka menambah lima mata, Kien Keat-Boon Heong tidak menoleh ke belakang lagi
untuk menamatkan perlawanan dengan 21-12.
Ini merupakan kejuaraan keenam
mereka tahun ini selepas menjuarai Terbuka Malaysia, Seluruh England, Terbuka
Switzerland, Terbuka Filipina dan Terbuka Macau.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vkRgWCJL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan