Isnin, 2 Oktober 2017

Beregu emas bolot Anugerah SAM



ARKIB : 06/07/2007

KUALA LUMPUR – Pasangan beregu badminton utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dipilih sebagai pemenang Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 Plus 2006 selepas menewaskan lima calon lain termasuk calon utama, pemain nombor satu skuasy wanita dunia, Nicol Ann David.

Pemilihan gandingan itu berdasarkan kejayaan mereka mengakhiri kemarau 20 tahun pingat emas di Sukan Asia di Doha, Qatar, tahun lalu.

Anugerah sulung yang diraih pasangan yang baru digandingkan pada Oktober 2006 itu membolehkan mereka membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Royale Bintang Damansara, semalam.

Turut hadir pada majlis anugerah itu termasuk Pengarah Urusan F&N Coca Cola, James Teo dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong.

Pemenang Anugerah SAM-100 PLUS tahun ini agak bertuah kerana jumlah hadiah wang tunai bertambah berbanding hanya RM5,000 pada tahun-tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Anugerah, Khalid Saad berkata, selain pencapaian, Kien Keat-Boon Heong dipilih berdasarkan ciri-ciri disiplin, karisma, impak yang ditonjolkan serta pesona atlet tersebut.

Selain Nicol, calon lain yang turut ditewaskan Kien Keat-Boon Heong semalam ialah Sazali Samad (bina badan), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Chai Fong Ying (wusyu) dan Esther Cheah (tenpin boling).

Sementara itu, Azalina dalam ucapannya menghargai usaha SAM untuk terus mengadakan anugerah ini yang bukan sahaja bertujuan menilai dan memberikan insentif malah mengiktiraf kejayaan mereka.

“Sebagai sebuah badan bukan kerajaan, peranan ini dilihat seiring dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan martabat sukan negara di arena antarabangsa.

‘‘Saya percaya anugerah seumpama ini dapat membakar semangat atlet untuk terus berjuang kerana kejayaan mereka sentiasa dinilai dan dihargai. Mereka menjadi wadah perjuangan bangsa dan negara,” katanya.

Ini merupakan tahun keempat berturut-turut penaja utama anugerah ini, 100-Plus bekerjasama dengan SAM dalam menghargai kehebatan atlet terbaik negara.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4uM0dRQT1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan