Rabu, 18 Oktober 2017

Malaysia lepasi halangan ke suku akhir



ARKIB : 23/11/2007

KUALA LUMPUR – Lee Chong Wei bersama tiga lagi wakil negara mara ke suku akhir Terbuka China selepas melepasi cabaran pusingan kedua di Guangzhou, semalam.

Chong Wei mara menerusi acara perseorangan lelaki selepas menewaskan pemain kurang ternama dari England, Andrew Smith 21-13, 21-9 hanya dalam masa 23 minit.

Di suku akhir hari ini, Chong Wei akan bertemu pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro.

Tiga lagi wakil negara yang turut layak ke suku akhir adalah Wong Mew Choo dalam perseorangan wanita serta Chong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Mohd. Zakry Latif-Mohd Fairuzizuan Tazari dalam acara beregu lelaki.

Di pusingan kedua semalam, Mew Choo mengejutkan pemain pilihan keenam dari Perancis, Pi Hongyan 21-17, 16-21, 21-11 untuk menempah pertemuan dengan pemain China, Zhu Lin di suku akhir hari ini.

Tan Fook-Wan Wah pula menewaskan beregu muda China, Liu Xiaolong-Li Tian 21-15, 21-16 dan akan menentang beregu Taiwan, Tsai Chia Hsin- Hu Chung Shien hari ini.

Zakri-Fairuzizuan yang mengejutkan beregu nombor satu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun di pusingan pertama kelmarin, terus cemerlang apabila menewaskan satu lagi beregu China, Shen Ye-He Hanbin 16-21, 21-14, 21-18.

Di suku akhir hari ini, Zakry-Fairuzizuan juga akan menentang beregu Taiwan, Fan Chieh Min-Lee Sheng Mu.

Wakil Malaysia yang tewas di pusingan kedua semalam termasuklah Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Yeoh Kay Bin, Muhd, Hafiz Hashim dan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vqU6VWMr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan