Jumaat, 13 Oktober 2017

Hajat Malaysia lebur



ARKIB : 19/08/2007 
Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI
CHOONG Tan Fook (kanan) dan Lee Wan Wah menamatkan cabaran Malaysia pada Kejohanan Dunia di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR – Hajat Malaysia untuk memiliki juara dunia pertama selepas 30 tahun menanti tidak kesampaian selepas pasangan senior, Chong Tan Fook-Lee Wan Wah tumbang di separuh akhir semalam, sekaligus menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Dunia hari ini berlangsung tanpa pemain tuan rumah.

Beregu nombor dua negara itu bagaimanapun memberikan tentangan sengit hingga ke titisan peluh terakhir sebelum akur 20-22, 26-28 kepada beregu nombor tiga dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia.

Dengan kekalahan Tan Fook-Wan Wah itu juga bermakna janji awal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memberikan sekurang-kurangnya satu kejuaraan dunia di gelanggang sendiri gagal dikotakan dan Kejohanan Dunia berakhir tanpa ‘hadiah istimewa’ buat rakyat Malaysia sempena Hari Kemerdekaan ke-50.

Juara Asia itu juga gagal dalam percubaan mereka untuk memperbaiki pencapaian pingat gangsa yang dilakukan di Seville 2001, namun menolak bahawa ini adalah Kejohanan Dunia terakhir mereka.

‘‘Saya sudah cuba sedaya upaya dan amat malang permainan maksimum itu gagal memberi kemenangan. Ia begitu menyedihkan kerana selepas beberapa kali kami memegang mata perlawanan, ia berjaya dipatahkan oleh lawan.

‘‘Markis-Hendra bermain dengan amat baik hari ini, mereka menggunakan strategi yang tepat dan tidak langsung memberi ruang kepada kami untuk menyerang. Saya harap ini bukan Kejohanan Dunia terakhir kami, kami mahu bermain lagi dan cuba memburu sesuatu.

‘‘Bagaimanapun memandangkan kejohanan akan datang hanya akan berlangsung pada 2009, jadi masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya. Kami tiada masa lagi untuk berehat, selepas ini kami akan segera kembali ke latihan dan memikirkan kelayakan Sukan Olimpik,” kata Tan Fook.

Dalam perlawanan semalam, Tan Fook-Wan Wah yang menumbangkan penyandang juara dunia dan beregu nombor satu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun pada saingan suku akhir melepaskan banyak peluang keemasan untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan, terutama pada set pertama di mana mereka mendahului 16-10.

Strategi bola rendah yang digunakan lawan dan kebijaksanaan mereka mengawal tekanan membantu pasangan muda Indonesia menamatkan saingan set pembukaan 22-20, dan pada set kedua, Tan Fook-Wan Wah memegang enam mata perlawanan, tetapi gagal untuk menamatkan saingan.

Hendra, 23, menggunakan ketinggiannya untuk mengutip mata kemenangan 28-26 selepas melakukan jumping smash yang gagal dibalas oleh Tan Fook, sekaligus menyebabkan hampir 10,000 penonton di Stadium Putra, Bukit Jalil terdiam.

‘‘Kekalahan ini memang mengecewakan tetapi persembahan Tan Fook-Wan Wah harus dipuji kerana mereka tidak mengalah mudah dan memberi tentangan sengit hingga ke saat akhir.

‘‘Semangat tinggi yang dipertontonkan pasangan senior ini harus dicontohi pemain-pemain muda negara. Saya harap banyak pengajaran dapat dipungut di sepanjang kejohanan ini,” kata jurulatih beregu, Rexy Mainaky.

Markis-Hendra kini akan menentang pasangan muda Korea Selatan, Jung Jae Sung- Lee Yong Dae yang mengetepikan beregu Jepun, Shuichi Sakamoto-Shintaro Ikeda 21-16, 21-12 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vOl7DQOl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan