Isnin, 23 Oktober 2017

Mew Choo tersingkir pada Terbuka Korea



MEW CHOO tewas mengejut kepada pemain Korea, Lee Yun Hwa semalam.

LANGKAH sumbang disajikan pemain perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Korea semalam.

Mew Choo yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan, tewas mengejut 11-21, 16-21 kepada pemain tuan rumah, Lee Yun Hwa.

Kegagalan itu bermakna Mew Choo gagal untuk mengulangi pencapaiannya dengan mara ke separuh akhir pada Terbuka Malaysia minggu lalu.

Mew Choo juga gagal untuk menyamai pencapaiannya dengan mara ke pusingan kedua Terbuka Korea tahun lalu, sekali gus memberi tamparan kepada skuad wanita negara menjelang aksi kelayakan Piala Uber di Vietnam selepas ini.

Ketiadaan pemain kedudukan kelapan dunia itu bermakna cabaran negara dalam acara perseorangan pada kejohanan Super Series kedua itu kini disandarkan kepada pemain muda, Julia Wong.

Semalam, Julia yang kini berada pada kedudukan ke-29 dunia tidak berdepan masalah menewaskan pemain sensasi Thailand, Salakjit Ponsana menerusi kemenangan 21-16 21-15.

Pada aksi semalam, Mew Choo yang mula menjadi perhatian selepas muncul juara pada Terbuka China Oktober tahun lalu bermula hambar apabila tewas mudah 11-21 kepada lawannya yang sekadar berada pada kedudukan ke-40 dunia.

Kekalahan itu jelas mengundang tekanan buat Mew Choo apabila dia akur 16-21 pada set kedua, sekali gus memberikan laluan kepada Yun Hwa mara ke pusingan kedua hanya dalam tempoh 36 minit.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4wLPpJVoo
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan