Selasa, 3 Oktober 2017

Chong Wei benam Taufik



ARKIB : 14/07/2007

KUALA LUMPUR – Pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei menundukkan juara Olimpik, Taufik Hidayat pada suku akhir untuk menempah pertemuan dengan juara dunia, Lin Dan di separuh akhir pada Kejohanan Badminton China Masters, semalam.

Kemaraan Malaysia pada separuh akhir kejohanan Siri Super bernilai AS$250,000 (RM860,000) itu diteruskan pemain veteran, Wong Choong Hann yang menumpaskan jaguh Denmark, Kenneth Jonassen.

Beregu muda, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock melengkapkan kecemerlangan negara di Chengdu dengan mengalahkan pasangan Denmark, Simon Mollyhus-Anders Kristiansen 21-10, 21-17.

Pemain nombor tiga dunia, Chong Wei diheret beraksi dalam perlawanan mendebarkan selama 58 minit sebelum mencatat kemenangan tipis 22-20, 20-22, 21-17.

Chong Wei, yang kalah empat daripada lima pertemuannya dengan jaguh Indonesia itu kini menghampiri gelaran Siri Super kedua selepas Terbuka Indonesia, namun perlu memberi aksi terbaik untuk menumbangkan pemain nombor satu dunia, Lin Dan.

Jaguh tuan rumah itu, yang mara selepas menewaskan rakan senegara, Bao Chunlai 19-21, 21-18, 21-12 memegang rekod 5-3 ke atas Chong Wei tetapi kalah dalam pertemuan terakhir kedua-dua pemain pada Piala Sudirman di Glasgow, bulan lalu.

‘‘Ini merupakan antara perlawanan paling sengit yang pernah saya harungi. Ketika saingan masuk set penentuan, saya tahu saya boleh menang jika mampu membawa bermain di jaring.

‘‘Menentang Lin Dan pasti lebih sukar. Dia memegang rekod pertemuan tetapi saya menang perlawanan terakhir kami di Piala Sudirman, jadi ia pasti menarik,’’ kata Chong Wei.

Sementara itu, Choong Hann meneruskan kebangkitannya untuk kembali dalam kelompok pemain terbaik dunia dengan menewaskan pilihan kelapan, Jonassen 21-13, 21-19.

Pemain berusia 30 tahun itu, yang mengalami kemerosotan ranking dan prestasi sejak cedera buku lali pada Piala Thomas, tahun lalu dijangka tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan Wacha Przemsylaw dari Poland hari ini.

Przemsylaw, pemain nombor 17 dunia melakar kejutan ke atas juara Terbuka Singapura, Boonsak Ponsana dari Thailand 21-15, 18-21, 21-16.

‘‘Sudah lama saya tidak melangkah ke separuh akhir kejohanan besar, ia memberi satu perasaan yang amat menggembirakan.

‘‘Paling penting kemenangan ini mampu meningkatkan keyakinan saya untuk kembali dalam kelompok pemain terbaik dunia,’’ kata Choong Hann.

Sementara itu, Bin Shen-Soon Hock yang tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Thailand minggu lalu akan berdepan bekas beregu utama Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto yang mara selepas mengalahkan pasangan muda China, Shen Ye-He Hanbin 23-21, 21-15.

Bin Shen-Soon Hock yang akan membawa cabaran Malaysia pada Kejohanan Dunia bulan depan tewas dalam satu-satunya pertemuan kedua-dua pasangan pada Kejohanan Dunia 2005 di Madrid.

Satu lagi saingan separuh akhir beregu lelaki menemukan pasangan nombor satu dunia dan juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dengan beregu nombor satu Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz4uRq57wHi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan