Isnin, 23 Oktober 2017

Kien Keat-Boon Heong kalah



ARKIB : 18/01/2008
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
BEREGU Denmark, Lars Paaske dan Jonas Rasmussen (depan) gembira meraikan kejayaan menewaskan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR – Beregu nombor satu dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjadi mangsa kejutan terbesar pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia semalam apabila tersingkir daripada pusingan kedua selepas kalah mengejut kepada pasangan Denmark, Lars Paaske-Jonas Rasmussen.

Aksi goyah penyandang juara itu sudah pun diperlihatkan sejak awal permainan apabila tewas di set pembukaan, sebelum kegugupan Boon Heong dihukum sepenuhnya oleh pasangan berpengalaman Denmark itu untuk mencatat kemenangan 21-19, 18-21, 21-16.

Begitu pun, harapan peminat badminton tanahair untuk melihat gelaran beregu lelaki yang dimenangi oleh Kien Keat-Boon Heong tahun lalu kekal milik Malaysia masih boleh disandarkan kepada juara 2004, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan bekas beregu nombor satu dunia, Chew Choon Eng-Chan Chong Ming yang berjaya melangkah ke suku akhir.

Ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky berkata, kekalahan Kien Keat-Boon Heong tidak langsung menjejaskan impian Malaysia untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik, malah tidak juga mendorongnya menekan ‘butang kecemasan’.

“Saya kena kuatkan semangat mereka, saya kena kekal kepada pendirian bahawa sasaran kita tahun ini adalah Sukan Olimpik bukan sekadar Terbuka Malaysia atau kejohanan terbuka lain.

“Kalau anda tanya kepada saya, adakah saya masih yakin pasangan ini akan memenangi pingat emas Olimpik ? Jawapan saya, ya. Mereka mungkin tidak bermain baik hari ini tetapi mereka masih pasangan terbaik di dunia,” kata Rexy semalam.

Paaske-Rasmussen kini akan mencabar beregu nombor dua negara, Tan Fook-Wan Wah yang melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pasangan senegara, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock 19-21, 21-18, 21-18.

Choon Eng-Chong Ming, yang kembali bergandingan selepas dipisahkan sejak Sukan Olimpik 2004 meneruskan permainan yang meyakinkan ketika menyingkirkan pasangan utama Taiwan, Tsai Chia Hsin-Hu Chung Shien 21-13, 13-21, 21-14.

Cabaran negara pada suku akhir hari ini turut diteruskan oleh dua perseorangan utamanya, Lee Chong Wei dan Wong Mew Choo dalam saingan lelaki dan wanita.

Chong Wei mengetepikan pemain Poland, Wacha Przemyslaw 21-5, 15-21, 21-8 untuk menempah pertemuan dengan pemain muda Indonesia, Simon Santoso, yang mengejutkan rakan senegara dan juara Olimpik, Taufik Hidayat 21-18, 21-16.

Mew Choo pula tidak menghadapi masalah untuk melepasi pemain tidak ternama Switzerland, Jeanine Cicognini 21-14 21-10 untuk menempah pertemuan dengan pemain Jepun, Eriko Hirose.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4wORXsZrY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan