Isnin, 23 Oktober 2017

Mew Choo jumpa Zhu Lin



ARKIB : 19/01/2008

Wong Mew Choo membalas pukulan Eriko Hirose dari Jepun pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2008 di Stadium Putra, semalam. Mew Choo menang untuk ke pusingan separuh akhir. – Gambar ASWAD YAHYA.

KUALA LUMPUR – Ratu badminton negara, Wong Mew Choo menempah pertemuan dengan juara dunia, Zhu Lin pada separuh akhir Terbuka Malaysia hari ini selepas mempamer aksi yang dianggap ‘lekeh’ ketika melepasi halangan pemain Jepun, Eriko Hirose dalam saingan suku akhir semalam.

Mengekori kemaraan Mew Choo ke separuh akhir hari ini adalah jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Chong Wei yang tidak menghadapi masalah menewaskan pemain muda Indonesia, Simon Santoso 21-13, 21-13.

Semalam, Mew Choo meresahkan hampir 5,000 penonton di Stadium Putra, Bukit Jalil apabila kalah dalam set pembukaan, kurang fokus pada set kedua dan dipaksa bangkit daripada ketinggalan di set ketiga sebelum menang 16-21, 23-21, 21-14 dalam masa 59 minit.

Kemenangan itu membolehkan dia mengulangi pertemuan dengan Zhu Lin, pemain yang mengecewakannya pada perlawanan akhir tahun lalu selepas bintang China itu mencatat kemenangan mudah 21-10, 21-11 ke atas pemain Hong Kong, Wang Chen.

Bagaimanapun Mew Choo mengakui, aksi buruk yang dipamerkan semalam menyebabkan dia tidak berani meletakkan harapan tinggi untuk membalas dendam atas kekalahannya kepada bintang China itu, tahun lalu.

“Melihat kepada permainan saya hari ini (semalam), tidak banyak yang boleh diharapkan daripada perlawanan esok (hari ini). Saya rasa amat tegang sepanjang masa, terlalu banyak berfikir dan bermain dengan teruk hari ini.

“Saya cuma dapat berharap saya tidak akan mengulangi kesilapan itu apabila menentang Zhu Lin,” kata Mew Choo.

Meskipun kalah kepada Zhu Lin dalam perlawanan akhir Terbuka Malaysia tahun lalu, namun Mew Choo berjaya menundukkan pemain nombor tiga dunia itu 18-21, 21-9, 21-13 pada pertemuan terakhir mereka di suku akhir Terbuka China, November lalu.

Begitu pun, rekod pertemuan keseluruhan tetap berpihak kepada Zhu Lin yang memenangi tiga daripada empat pertemuan termasuk di Kejohanan Dunia, Ogos lalu.

Zhu Lin merupakan satu-satunya perseorangan wanita China yang akan beraksi pada separuh akhir hari ini selepas cabaran seorang lagi jaguh mereka dan pemain nombor empat dunia, Lu Lan berakhir dengan kekalahan mengejut 12-21, 21-16, 16-21 di tangan pemain Denmark, Tina Rasmussen.

Rasmussen, pemain nombor 10 dunia akan menentang seorang lagi wakil Eropah, Pi Hongyan dari Perancis yang mara selepas mengetepikan Yu Hirayama dari Jepun 21-13, 21-9.

Sementara itu, ramalan bahawa Chong Wei bakal menerima tentangan sengit daripada bintang sedang meningkat Indonesia, Simon meleset sama sekali apabila pemain nombor dua itu mengawal permainan sepenuhnya dan memenangi perlawanan hanya dalam masa 33 minit.

Sementara itu, beregu veteran negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah mempamerkan aksi paling

buruk dalam set penentuan apabila hanya mampu mengutip enam mata sebelum tunduk 16-21, 21-16, 6-21 kepada pasangan Denmark, Lars Paaske-Jonas

Rasmussen pada suku akhir Terbuka Malaysia semalam.

Kekalahan juara 2004 itu melengkapkan kempen buruk beregu lelaki negara di Stadium Putra, Bukit Jalil apabila terdahulu Chew Choon Eng-Chan Chong Ming tumpas 12-21, 13-21 kepada bekas pasangan nombor satu dunia, Fu Haifeng Cai Yun.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4wOh3bwJF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan