Rabu, 4 Oktober 2017

Beregu kita No. 2 dunia



ARKIB : 27/07/2007

KUALA LUMPUR – Beregu nombor satu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kembali ke tangga kedua ranking dunia semalam, sekali gus mengelakkan pertemuan dengan juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun pada peringkat awal Kejohanan Badminton Dunia, bulan depan.

Juara Seluruh England itu jatuh tangga ketiga ranking 19 Julai, namun kejayaan menjuarai Terbuka Filipina membantu mereka kembali ke tangga kedua, di belakang Haifeng-Cai Yun.

Dua beregu teratas dunia hanya berpotensi bertemu sesama sendiri pada perlawanan akhir Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil dari 13-19 Ogos ini.

Beregu veteran dan juara Asia, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah bagaimanapun jatuh satu anak tangga ke ranking keenam.

Dua lagi beregu negara, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif turut jatuh dalam ranking.

Bin Shen-Soon Hock jatuh dari tangga 13 ke 14, manakala Fairuzizuan-Zakry turun ke ranking 33 dunia dari kedudukan 32 minggu lalu.

Juara Terbuka Filipina, Lee Chong Wei kekal di tangga ketiga dunia sementara Wong Choong Hann merampas status pemain nombor dua negara daripada Muhammad Hafiz Hashim, yang mengalami kejatuhan terburuk dengan di tangga ke-16 dari ranking 13 minggu lalu.

Choong Hann kekal tangga ke-15 diikuti Lee Tsuen Seng (20), Yeoh Kay Bin (24), Mohd. Roslin Hashim (26), Sairul Amar Ayob (28), Tan Chun Seang (42) dan Kuan Beng Hong (44).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4uXtgGvdG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan