Rabu, 18 Oktober 2017

Kejutan Mew Choo iringi ke separuh akhir



ARKIB : 24/11/2007

KUALA LUMPUR - Wong Mew Choo melakukan kejutan besar dengan melayakkan diri ke separuh akhir perseorangan wanita Terbuka China di Guangzhou, semalam.

Mengiringi Mew Choo adalah Lee Chong Wei dalam perseorangan lelaki dan pasangan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dalam beregu lelaki.

Namun berbanding dengan pemain lelaki, kejayaan Mew Choo jelas lebih mencuri tumpuan apabila buat kali pertama dalam kariernya berjaya mara ke separuh akhir di kejohanan yang biasanya didominasi pemain wanita tuan rumah.

Pada suku akhir, semalam, Mew Choo yang merupakan pemain bukan pilihan menewaskan pemain pilihan keempat kejohanan dari China, Zhu Lin 18-21, 21-9, 21-13 selepas bertarung selama 59 minit.

Kemenangan itu membolehkannya menempah pertemuan dengan seorang lagi pemain China yang juga pilihan kedua, Zhang Ning di separuh akhir hari ini.

Satu lagi separuh akhir mempertemukan pemain China sesama sendiri iaitu pilihan pertama, Xie Xingfang dengan pilihan ketiga, Lu Lan.

Seperti Mew Choo, Chong Wei juga dipaksa bertarung hingga tiga set sebelum menewaskan pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 21-10, 19-21, 21-14.

Di separuh akhir hari ini, Chong Wei akan menentang pemain China, Chen Jin yang layak selepas menewaskan pemain Denmark, Peter Gade Christensen 21-17, 21-17.

Satu lagi separuh akhir mempertemukan pemain China, Boa Chunlai dan pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan.

Gandingan Tan Fook-Wan Wah pula menebuskan kekalahan rakan sepasukan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di tangan Tsai Chia Hsin-Hu Chung Hsien kelmarin apabila menewaskan beregu Taiwan itu, 24-22-21-12 di suku akhir, semalam.

Dengan kemenangan itu, beregu veteran negara ini akan bertemu beregu China, Xie Zhongbo-Guo Zhengdong di separuh akhir hari ini.

Jika menang, mereka akan bertemu sama ada beregu Indonesia yang juga juara dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan atau satu lagi beregu Taiwan, Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu pada perlawanan akhir nanti.

Chieh Min-Sheng Mu adalah gandingan yang menewaskan satu lagi beregu negara, Mohd. Zakry Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari di suku akhir, semalam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vqbrxcAL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan