Jumaat, 27 Oktober 2017

4 pemain setuju kekal dengan skuad negara



ARKIB : 26/01/2008

KUALA LUMPUR - Persiapan skuad badminton Malaysia untuk menghadapi Sukan Olimpik kembali ke landasan sebenar apabila dua beregu lelakinya yang sebelum ini bertindak keluar daripada pasukan akan memulakan semula latihan bersama pemain-pemain kebangsaan hari ini lapor NORZIE MOHD. KHASBI.

Selepas mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong semalam, keempat-empat pemain - Tan Bin Shen, Ong Soon Hock, Gan Teik Chai dan Lin Woon Fui bersetuju untuk kembali ke pangkuan skuad negara.

Antara jaminan yang diberikan Zolkples dalam pertemuan hampir sejam itu adalah akan berbincang dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memastikan kedua-dua beregu mendapat lebih peluang menyertai kejohanan, cuba mencarikan penaja persendirian dan tidak akan meminggirkan mereka.

Menurut Zolkples, baik Bin Shen-Soon Hock, mahu pun Teik Chai-Woon Fui, kedua-duanya menegaskan bahawa tindakan keluar BAM bukan kerana mendapat tawaran daripada mana-mana kelab persendirian seperti yang didakwa, malah mereka menegaskan tidak pernah terniat untuk menyertai kelab berkenaan.

Sebaliknya, mereka hanya cuba memajukan karier dengan menganggap masa depan mereka dalam skuad kebangsaan semakin suram memandangkan tumpuan utama BAM kini lebih terarah kepada tiga pasangan utamanya yang berada dalam program Olimpik Beijing.

"Mereka berasakan bahawa karier mereka seperti sudah tenggelam kerana dalam program Olimpik tumpuan lebih diberikan kepada tiga beregu utama yang akan beraksi di Beijing, jadi adalah menjadi tanggungjawab kami (MSN dan BAM) membantu kedua- dua beregu ini kembali memajukan karier mereka. Pada kami, mereka merupakan beregu yang berpotensi, malah prestasi mereka juga tidaklah terlalu jauh dibandingkan dengan tiga beregu utama, jadi adalah sesuatu yang merugikan buat negara jika kita kehilangan pemain seperti ini.

"Kita akan cuba membantu masalah mereka, apatah lagi saya fikir keadaan masih lagi terkawal dan boleh dikawal. Kita hanya mahu yang terbaik untuk pemain-pemain dan pasukan badminton,'' kata Zolkples.

Menurut Zolkples, kepulangan semula Bin Shen-Soon Hock dan Teik Chai-Woon Fui telah menamatkan semua isu dan kembali membentuk suasana harmoni dalam pasukan kebangsaan, sekali gus memastikan persiapan badminton Malaysia menjelang Sukan Olimpik, Ogos ini kini kembali ke landasan terbaik.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4whkF7QRI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan