Sabtu, 30 September 2017

Badminton Piala Sudirman: Impian Malaysia melakar sejarah tidak kesampaian



ARKIB : 15/06/2007
KUALA LUMPUR – Impian Malaysia untuk melakar sejarah ke separuh akhir badminton Piala Sudirman buat kali pertama tidak kesampaian apabila tewas 1-4 kepada penyandang juara, China di Glasgow, semalam.

Bagaimanapun, pasukan negara terselamat daripada tersingkir ke Divisyen Dua selepas Thailand tewas 1-4 kepada England dalam satu lagi perlawanan untuk meletakkan Malaysia di tangga ketiga Kumpulan A.

England yang mengejutkan Malaysia 3-2 pada perlawanan pembukaan mengiringi China ke separuh akhir untuk berdepan juara Kumpulan B, Indonesia.

China yang menjadi pilihan utama mempertahankan kejuaraan akan menentang Korea Selatan, selaku naib juara Kumpulan B dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Bagi Malaysia, kekalahan kepada China sudah dijangkakan kerana lawan turun bersama kekuatan maksimum dengan barisan pemain lelaki dan wanita yang amat kuat.

Apa yang mengecewakan bukan kerana gagalnya pasukan negara ke separuh akhir, tetapi persembahan hambar beregu nombor dua dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Juara Seluruh England, Terbuka Malaysia dan Terbuka Switzerland itu diharap mampu memberi tentangan terbaik buat juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun, namun mereka kalah mudah 9-21, 14-21 dalam masa 32 minit.

Ini merupakan kekalahan kedua buat pemenang pingat emas Sukan Asia itu dalam kempen Piala Sudirman selepas turut tumpas kepada pasangan England, Anthony Clark-Robert Blair pada saingan pembukaan, Isnin lalu.

Aksi tidak konsisten pasangan muda itu sekali gus menimbulkan tanda tanya, sejauh manakah keseriusan mereka dalam membawa cabaran Piala Sudirman yang sebelum ini tidak pernah dianggap penting oleh Malaysia.

Apa sekali pun status kejohanan kepada kebanyakan pemain negara, ia tidak menghalang Lee Chong Wei memberi persembahan terbaik.

Meskipun Malaysia sudah ketinggalan 0-4, Chong Wei tidak berputus asa untuk menundukkan juara dunia, Lin Dan 21-17, 21-17.

Kemenangan ini, biar pun tidak mampu menghalang Malaysia daripada tersingkir, ia sekurang-kurangnya meningkatkan keyakinan Chong Wei andai perlu bertemu lagi pemain nombor satu dunia itu pada kejohanan akan datang.

Bagi jurulatih China, Li Yongbo, tiada apa yang perlu digusarkan dengan kekalahan Lin Dan, biar pun mengakui ia agak mengecewakan.

Terdahulu, pasangan muda negara, Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei melengkapkan rekod tanpa menang dalam semua perlawanan apabila tumpas 15-21, 17-21 kepada Zheng Bo-Gao Liong.

Anita Raj Kaur yang menjadi pilihan Malaysia untuk menggantikan Wong Mew Choo dalam perseorangan wanita seperti diduga bukan lawan kepada bekas juara dunia, Zhang Ning apabila tewas 16-21, 10-21.

Kekalahan Kien Keat-Boon Heong dalam beregu lelaki mengesahkan kemenangan China, sebelum Yang Wei-Zhao Tingting menjadikan kedudukan 4-0 dengan menumpaskan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui 21-12, 21-15.

Malaysia kini akan menentang juara Eropah, Denmark, yang menduduki tangga ketiga Kumpulan B untuk kedudukan kelima dan keenam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u9GNqMHS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan