Jumaat, 22 September 2017

Beregu kita naik mendadak



ARKIB : 16/03/2007

BEREGU handalan negara, Tan Boon Heong (kiri) dan Koo Kien Keat kini menduduki tangga ke-18 ranking badminton dunia berbanding kedudukan ke-32 minggu lalu berikutan kejayaan mereka menjuarai Kejohanan badminton Seluruh England, Ahad lalu. – AFP.

KUALA LUMPUR – Kejayaan menamatkan kemarau 25 tahun dengan muncul juara Seluruh England minggu lalu, membolehkan pasangan muda Malaysia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menikmati kenaikan terbesar dalam ranking baru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam.

Kien Keat-Boon Heong, yang menduduki tangga ke-32 minggu lalu berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok 20 beregu terbaik dunia dengan berada di ranking ke-18, menikmati lonjakan 14 anak tangga.

Malah, kedudukan terbaru ini merupakan peningkatan besar buat beregu remaja negara itu, yang hanya memulakan tahun 2007 dari ranking 119 dunia.

Kenaikkan itu turut dibantu dengan kejayaan mereka menjuarai Terbuka Malaysia, layak ke separuh akhir Terbuka Korea dan muncul juara di Birmingham.

Tahun lalu, pasangan negara itu berjaya muncul naib juara Terbuka Jepun pada penampilan sulung mereka, Oktober lalu sebelum membawa pulang pingat emas Sukan Asia di Doha.

Kien Keat-Boon Heong juga mampu menempatkan diri dalam kedudukan 10 teratas andai berjaya mencatat keputusan cemerlang di Terbuka Switzerland yang sedang berlangsung. Semalam mereka berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.

Ranking semalam turut menyaksikan beregu muda negara, Gan Teik Chai-Mohd. Zakry Latif berjaya berada dalam kelompok 10 beregu terbaik dunia buat kali pertama.

Meskipun belum mencatatkan sebarang keputusan memberangsangkan sepanjang 2007, namun Teik Chai-Zakry berjaya melonjakkan diri tiga anak tangga dari ranking terdahulu.

Pasangan veteran, Choong Tan Fook- Lee Wan Wah yang tersingkir di suku akhir Seluruh England dan terkeluar pada pusingan awal Terbuka Swiss, masih kekal di tangga kelima dunia.

Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui juga mencatat kenaikan, enam anak tangga ke ranking 17 dunia, manakala Tan Bin Shen-Ong Soon Hock naik dari tempat ke-26 minggu lalu ke kedudukan ke-20.

Pasangan China, Fu Haifeng-Cai Yun terus mengungguli ranking beregu lelaki, diikuti Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen dari Denmark dan Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea di ranking ketiga.

Sementara itu dalam perseorangan lelaki, tidak banyak perubahan melibatkan pemain Malaysia, termasuk Lee Chong Wei yang kekal di tangga ketiga dunia di belakang dua pemain China, Lin Dan dan Chen Jin.

Muhammad Hafiz Hashim, yang menarik diri daripada Terbuka Switzerland juga kekal pada kedudukan kesembilan, sementara abangnya, Muhammad Roslin Hashim masih di ranking ke-19.

Dua pemain Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Sairol Amar Ayob dan Lee Tsuen Seng berada di ranking ke-20 dan 22 dunia, manakala Yeoh Kay Bin berada pada kedudukan 32, diikuti Kuan Beng Hong, 35.

Dalam perseorangan wanita, Wong Mew Choo menghampiri pemburuan ke kelompok 10 pemain terbaik dunia apabila menduduki ranking ke-13, naik lima anak tangga.

Pemain nombor dua negara, Julia Wong juga mencatat kenaikan dengan menduduk ranking 18 dunia, dari kedudukan 22 minggu lalu. Dua pemain China, Xie Xingfang dan Zhang Ning, terus berada di dua tempat teratas.

Beregu wanita nombor satu negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui memperbaiki kedudukan dua anak tangga, naik ke ranking kelima, manakala Lim Pek Siah-Joanne Quay melonjak dua tangga ke ranking 17.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tPOrbflB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan