Jumaat, 8 September 2017

Skuad negara tersungkur di China



ARKIB : 21/10/2006

KUALA LUMPUR – Mimpi ngeri skuad badminton negara pada Kejohanan Dunia bulan lalu berulang di Terbuka China apabila semua wakilnya tersingkir pada suku akhir, sekali gus memberi gambaran tidak menentu menjelang Sukan Asia, Disember ini.

Ketiga-tiga wakil Malaysia yang bertarung dalam peringkat suku akhir - Wong Mew Choo, Gan Teik Chai-Mohd. Zakry Latif dan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui kecundang di Guangzhou, semalam.

Kegagalan pemain negara bermula dengan kekalahan 18-21, 10-21 pasangan muda, Teik Chai-Mohd. Zakry kepada beregu nombor dua dunia, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen dari Denmark.

Beregu wanita utama negara, Pei Tty-Eei Hui memberi tentangan yang baik kepada pasangan nombor satu Taiwan, Chien Yu Chin-Cheng Wen Hsing sebelum tunduk 21-17, 7-21, 15-21.

Juara wanita kebangsaan, Mew Choo pula melengkapkan kegagalan Malaysia di Guongzhou apabila kalah straight set kepada pemain nombor satu dunia, Zhang Ning 17-21, 7-21.

Ini merupakan kekalahan kedua Mew Choo di tangan bekas juara dunia, Zhang Ning selepas turut tewas kepada jaguh veteran China itu di Madrid, bulan lalu.

Seandainya keputusan Terbuka China menjadi ukuran prestasi Malaysia menjelang Temasya Doha, 1-15 Disember ini, ia pastinya adalah gambaran yang cukup membimbangkan.

Kelmarin, dua pasangan utama yang akan membawa cabaran negara pada Sukan Asia - Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat tumpas kepada lawan tidak ternama di pusingan ketiga.

Ketika kebimbangan menghantui pasukan badminton Malaysia menjelang Sukan Asia, China, yang menggondol empat daripada lima gelaran di Kejohanan Dunia terus mendominasi saingan.

Gergasi badminton dunia itu mempunyai wakil dalam semua lima acara apabila saingan separuh akhir berlangsung hari ini.

Indonesia pula diwakili dua beregu lelaki, Hendra Setiawan-Markis Kido dan Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto selepas cabaran mereka dalam acara lain berakhir awal, termasuk kekalahan juara Olimpik dan bekas juara dunia, Taufik Hidayat.

Taufik, yang gagal mempertahankan kejuaraan dunia di Madrid lalu tumpas 13-21, 21-12, 18-21 kepada remaja tuan rumah, Chen Yu.

Juara dunia, Lin Dan pula terus mengukuhkan cengkamannya sebagai pemain nombor satu dunia apabila mengetepikan pemain muda Hong Kong, Chan Yan Kit 21-18, 21-17.

Juara beregu dunia, Cai Yun-Fu Haifeng dari China menempah pertemuan dengan Luluk-Alvent selepas mengalahkan rakan senegara, Zhang Wei-Sun Jun 21-17, 9-21, 21-15.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4s5KbmNCH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan