Sabtu, 9 September 2017

Choong Hann ganti Roslin



ARKIB : 18/11/2006

KUALA LUMPUR - Pasukan badminton Malaysia melakukan rombakan terbaru, hanya dua minggu menjelang Sukan Asia Doha bulan depan apabila menerima kemasukan bekas perseorangan utamanya, Wong Choong Hann.

Selepas diketepikan daripada senarai asal kontinjen negara pada temasya 1-15 Disember ini, Choong Hann kembali disenaraikan menggantikan Mohd. Roslin Hashim.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam mengesahkan Roslin, 31, terpaksa melupakan saingan selepas dibelenggu kecederaan siku ketika beraksi pada Terbuka Belanda, minggu lalu.

Kehadiran Choong Hann, naib juara dunia 2003 adalah untuk menguatkan cabaran berpasukan negara kerana slot individu akan diisi oleh bekas pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei dan Muhd. Hafiz Hashim.

Choong Hann, yang terpaksa pulang awal ketika Malaysia sedang berdepan Korea Selatan di suku akhir Piala Thomas, Mei lalu kerana kecederaan buku lali kini akan berganti dengan Kuan Beng Hong untuk mengisi slot perseorangan ketiga.

Kemasukan Choong Hann ke dalam skuad kebangsaan merupakan perubahan terbaru yang dialami badminton negara selepas menggantikan tiga pemain beregu, bulan lalu.

Pada 26 Oktober lalu, BAM menggugurkan tiga pemain senior, Choong Tan Fook, Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming untuk diganti dengan Mohd. Fairuzizuan Tazari, Lin Woon Fui serta Tan Boon Heong.

Biarpun berlaku beberapa perubahan yang agak besar dalam tempoh terdekat, namun ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock tetap optimis dengan kemampuan Malaysia untuk memenuhi sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya sebutir emas dari Doha.

Kim Hock berkata, ketiadaan Roslin tidak akan menjejaskan moral pemain, sebaliknya beliau percaya, Choong Hann adalah pengganti yang tepat, memandangkan dia juga merupakan anggota senior skuad kebangsaan, malah ketua pasukan negara di Piala Thomas.

“Wong Choong Hann juga pemain yang berpengalaman. Saya percaya dia sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali yang dialami pada Piala Thomas lalu,’’ kata Kim Hock.

Malaysia tidak pernah memenangi sebarang pingat emas berpasukan pada Sukan Asia sejak Datuk Punch Gunalan mengetuai Malaysia merangkulnya pada temasya 1970 di Bangkok.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sEGeJKPT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan