Sabtu, 25 Mac 2017

Pasangan negara tersekat kemaraan



ARKIB : 14/10/2002
BUSAN - Chan Chong Ming-Chew Choon Eng gagal mengubah warna pingat daripada gangsa ke warna yang lebih bersinar apabila kecundang kepada pasangan Korea Selatan, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung 16-17, 12-15 separuh akhir acara individu badminton Sukan Asia XIV di sini, semalam.

Kekalahan mereka itu sekali gus mengakhiri cabaran Malaysia dalam acara badminton yang akan menutup tirainya hari ini. Secara keseluruhannya, Malaysia cuma membawa pulang dua pingat gangsa.

Anak didik Park Joo-bong itu bagaimanapun berhak dipuji kerana mampu mengheret pasangan tuan rumah berhempas-pulas sehingga sejam di sebalik ketinggalan jauh dalam set pertama 6-11 dan 10-14.

Dengan yakin, Chan-Chew bangkit mengikat 14-14 sekali gus memaksa mata dius tetapi tetap tewas selepas mendahului dua mata.

Set kedua menyaksikan mereka saling memintas tetapi pasangan Korea ternyata lebih handal.

Park berkata, anak buahnya mensia-siakan peluang pada set pertama ketika memegang dua servis dan cuma perlukan satu mata untuk mengakhiri permainan.

``Rancangan saya pada awalnya ialah mahukan mereka memaksa lawan keliru dalam membalas hantaran dengan secara kilasan kerana masing-masing menggunakan tangan kanan dan kidal.

``Sayangnya persembahan mereka tidak sebaik semalam (kelmarin). Terlalu banyak kesilapan pula dilakukan oleh Chan yang semakin memburukkan keadaan dalam set kedua,'' kata jurulatih beregu dari Korea Selatan itu. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cNcEQlQR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan