Rabu, 29 Mac 2017

Kejohanan Badminton Dunia di Birmingham - Hafiz tanpa ditemani Roslin

ARKIB : 07/03/2003
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
JUARA Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim akan mengetuai cabaran 10 pemain Malaysia ke Kejohanan Badminton Dunia di Birmingham pada 12-18 Mei ini.

Abangnya, Mohd. Roslin Hashim bagaimanapun tidak disenarai, sebaliknya dua lagi kuota perseorangan lelaki pada kejohanan tujuh hari itu diisi pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann serta Lee Tsuen Seng.

Pasangan utama negara dan nombor enam dunia, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng pula akan mengetuai cabaran beregu lelaki bersama Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.

Juara Grand Prix, Wong Mew Choo dan pasangan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty menjadi wakil tunggal perseorangan dan beregu wanita.

Manakala, Choon Eng akan berganding dengan Eei Hui untuk bertanding dalam beregu campuran.

Senarai 10 wakil negara ke Birmingham itu diumumkan oleh Pengurus Pentadbiran dan Kewangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Gangga Rao di Bukit Kiara, semalam.

Menurut Gangga, sekiranya berlaku kecederaan pemain pada saat akhir, pertukaran boleh dilakukan pada atau sebelum 4 April depan.

``Hanya pemain negara yang layak boleh mengisi kekosongan pemain lain jika kecederaan berlaku pada saat-saat akhir. Dalam perseorangan lelaki, dua pemain yang berada dalam senarai simpanan adalah Roslin dan James Chua,'' katanya lagi.

Sementara itu ketua jurulatih perseorangan kebangsaan, Misbun Sidek berkata, 10 pemain yang disenaraikan ke Birmingham adalah barisan terbaik yang dimiliki oleh Malaysia ketika ini.

Katanya, walaupun terdapat dua lagi pemain yang memiliki ranking lebih baik berbanding Tsuen Seng (25) iaitu Ong Ewe Hock (23) dan Sairul Amar Ayob ranking 24, pemain itu dipilih kerana prestasi semasanya yang lebih meyakinkan.

``Saya hanya pilih pemain yang saya yakin,'' kata Misbun. ``Pada masa ini, pemain-pemain ini adalah mereka yang saya percaya mampu memberikan keputusan baik.

``Walau apa keputusan yang dicatat oleh mereka pada pertandingan sebelum Kejohanan Dunia itu cerita lain, pada saya ketika ini mereka adalah yang terbaik dan keputusan pula perlu dilakukan sekarang.''

Sementara itu ketua jurulatih beregu kebangsaan, Yap Kim Hock pula berkata, Chong Ming-Chew Eng serta Tan Fook-Wan Wah masih menjadi pasangan yang paling boleh diharap sekalipun mereka sedang bergelut dengan masalah kecederaan.

``Hanya mereka pasangan terbaik kita ketika ini, jadi saya tidak ada banyak pilihan untuk menyenaraikan beregu lain,'' katanya.

Bagaimanapun Kim Hock berkata, beliau berharap tempoh dua bulan menjelang Kejohanan Dunia memadai buat Chong Ming dan Wan Wah pulih daripada kecederaan masing-masing.

Undian bagi kejohanan ini akan dilakukan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) selepas 1 Mei.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ci9NlVXW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan