Jumaat, 24 Mac 2017

Kejohanan Badminton Remaja Asia - Pasangan negara ke akhir



ARKIB : 21/07/2002
PASANGAN negara, Koo Kien Keat-Ong Soon Hock meraikan kejayaan mengalahkan beregu Indonesia, Markis Kido-Rian Sukmawan 17-15, 15-11 untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Remaja Asia di KLBA, semalam.

PASANGAN Koo Kien Keat-Ong Soon Hock memastikan bendera Malaysia terus berkibar pada Kejohanan Badminton Remaja Asia apabila melangkah ke perlawanan akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur, semalam.

Kien Keat-Soon Hock, satu-satunya wakil negara yang terselamat pada kejohanan edisi keenam itu menyingkirkan pasangan Indonesia, Markis Kido-Rian Sukmawan 17-15, 15-11 dalam perlawanan yang mengambil masa 48 minit.

Menanti mereka dalam perlawanan akhir hari ini adalah pasangan Korea Selatan, Han Sang-hoon-Kim Dae-sung.

Sang-hoon-Dae-sung tewas pada set pertama sebelum berhempas pulas mengetepikan beregu Indonesia, Hendra Setiawan-Joki Riyadi 7-15, 15-10, 15-12.

Terdahulu, hasrat Kien Keat untuk meneruskan kecemerlangan dalam beregu campuran bersama Wong Wai See tidak kesampaian apabila tewas 4-11, 6-11 kepada beregu handalan China, Cao Chen-Rong Lu.

Kien Keat-Soon Hock kini menghampiri pencapaian terbaik Malaysia yang dilakukan oleh Chan Chong Ming-Jeremy Gan dan Chong Ming-Te Kok Seng, menjuarai beregu lelaki pada 1997 dan 1998.

Sementara itu penentuan gelaran perseorangan lelaki akan di lakukan oleh pemain Korea Selatan, Park Sung-hwan dan Hendra Wijaya dari Indonesia.

Sung-hwan mengetepikan cabaran Simon Santoso dari Indonesia 15-7, 15-8, Hendra pula menyingkirkan seorang lagi pemain Korea, Hwang Ji-man 6-15, 15-10, 15-11.

Seperti yang diduga, pemain China menguasai kedua-dua tiket perlawanan akhir dengan Zhu Lin bertemu Jiang Yanjiao hari ini.

Zhu Lin mara selepas menewaskan Eriko Hirose dari Jepun 11-7, 11-4 dan Jiang Yanjiao pula mengalahkan rakan senegara, Zhu Jingjing 11-5, 10-13,13-11.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cEjp6M4o
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan