Rabu, 22 Mac 2017

Kejuaraan dalam tangan - Dua pasangan negara ke babak akhir badminton terbuka Jepun

ARKIB : 07/04/2002
MALAYSIA mengesahkan gelaran juara untuk acara beregu apabila dua pasangan negara melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, hari ini.

Gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang kembali beraksi di peringkat antarabangsa setelah berehat sekian lama akibat kecederaan akan berdepan dengan pasangan nombor satu negara, Chan Chong Ming-Chew Choong Eng.

Tan Fook-Wan Wah yang semakin ghairah untuk memburu semula gelaran selaku beregu utama negara mengejutkan beregu ketiga dunia, gandingan Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung pada separuh akhir.

Pasangan ke-34 dunia, yang mara ke suku akhir Terbuka Switzerland bulan lalu itu menang 8-6, 7-4, 2-7, 7-4 ke atas beregu utama Korea yang merupakan pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik Sydney.

Kejayaan itu pastinya menjadi khabar gembira buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menyandarkan harapan agar beregu berpengalaman negara itu cukup bersedia menghadapi cabaran pada pusingan akhir Piala Thomas di Guangzhou, China bulan depan.

Sementara itu, Chong Ming-Choong Eng yang mengekalkan kedudukan sebagai beregu kedua dunia turut mara ke akhir setelah menumpaskan pasangan China, Zhang Wei-Zhang Jun dengan straight-set 7-4. 7-2, 7-4.

Dalam acara perseorangan lelaki, pemain nombor satu dunia, Xia Xuanze dari China akan bertemu Lee Hyun-Il (Korea) untuk menentukan juara.

Xuanze terpaksa bertarung hingga set kelima sebelum mengetepikan cabaran pemain tuan rumah, Keita Masuda 5-7, 1-7, 7-5, 7-4, 7-0.

Hyun-Il yang menjadi sandaran utama Korea pada Piala Thomas bulan depan membuktikan bahawa dia masih berbisa apabila mudah menyingkirkan bekas juara Seluruh England, Pulella Gopichand dari India 7-1, 7-4, 7-3.

Dan seperti biasa, pemain China menguasai acara perseorangan wanita dengan pertemuan dua pemain mereka, Zhou Mi dan Dai Yun.

Zhou Mi mara setelah menyekat kemaraan pemain utama Hong Kong, Wang Chen 7-3, 7-0, 7-2 sementara Dai Yun menyingkirkan rakan senegara Zhang Ning 1-7, 7-5, 7-0, 7-5.

Perlawanan akhir beregu campuran dijangka menyaksikan persaingan sengit di antara pasangan Korea, Kim Dong Moon-Ra Kyung Min dengan Nova Widianto-Marissa Vita dari Indonesia.

Pasangan nombor satu dunia itu mara setelah menewaskan Tri Kusharyanto-Emma Ermawati dari Indonesia 7-3, 7-2, 7-3 sementara Nova-Marrissa mengetepikan rakan senegara Bambang Suprianto-Minarti Timur 7-3, 7-5, 7-2.

KEPUTUSAN SEPARUH AKHIR

Perseorangan lelaki :

Xia Xuanze (Chn) kln Keita Masuda (Jpn) 5-7, 1-7, 7-5, 7-4, 7-0; Lee Hyun-Il (Kor) kln Pulella Gopichand (Ind) 7-1, 7-4, 7-3.

Perseorangan wanita :

Zhou Mi (Chn) kln Wang Chen (Hkg) 7-3, 7-0, 7-2; Dai Yun (Chn) kln Zhang Ning (Chn) 1-7, 7-5, 7-0, 7-5.

Beregu lelaki :

CHOONG TAN FOOK/LEE WAN WAH (MAS) kln Lee Dong-Soo/Yoo Yong-Sung (Kor) 8-6, 7-4, 2-7, 7-4; CHEW CHOON ENG/CHAN CHONG MING (MAS ) kln Zhang Wei/Zhang Jun (Chn) 7-4, 7-2, 7-4 .

Beregu wanita :

Gao Ling/Huang Sui (Chn) kln Huang Nanyan/Yang Wei (Chn) 5-7, 7-4, 7-4, 7-1; Ra Kyung-Min/Lee Kyung-Won (Kor) kln Zhang Jiewen/Wei Yili (Chn) 3-7, 7-2, 5-7, 7-1, 7-4 .

Beregu campuran :

Kim Dong-Moon/Ra Kyung-Min (Kor) kln Tri Kusharjanto/Emma Ermawati (Ina ) 7-3, 7-2, 7-3; Nova Widianto/Marissa Vita (Ina) kln Bambang Suprianto/Minarti Timur (Ina) 7-3, 7-5, 7-2

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4c4RPtOe8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan