Selasa, 21 Mac 2017

Perhitungan penting menentang Thailand



MELBOURNE - Malaysia akan bertemu Thailand di separuh akhir hari ini setelah muncul juara kumpulan A menewaskan Australia dan Hong Kong, masing-masing 5-0 pada dua perlawanan terakhir di Pusat Sukan dan Akuatik Melbourne, Albert Park, semalam.

Malaysia yang menang kesemua pertemuan di peringkat kumpulan dijangka mula menghadapi persaingan lebih sengit menentang Thailand, naib juara kumpulan B yang tewas 0-5 kepada Korea pada perlawanan terakhir mereka semalam.

Satu lagi perlawanan separuh akhir akan menyaksikan pertembungan antara Korea Selatan dengan Jepun yang mengesahkan tempat ke separuh akhir setelah menewaskan Singapura 3-2 pada perlawanan akhir peringkat kumpulan yang sengit.

Pasukan negara yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan perlu melepasi pusingan separuh akhir ini bagi menempah tiket ke pusingan akhir kejohanan badminton Piala Thomas di Guangzhou, China Mei ini.

Penasihat badminton negara, Indra Gunawan yang mengakui persaingan sengit itu mengingatkan pemain agar tidak lalai dengan kemenangan selesa yang mereka peroleh sebelum ini.

``Esok (hari ini) merupakan perlawanan sebenar yang menguji kemampuan pemain, mereka tidak boleh leka dengan keputusan sebelum ini,'' katanya yang ditemui selepas perlawanan menentang Hong Kong itu.

Mengenai perlawanan itu, Indra mengakui Malaysia perlu mencuri sekurang-kurangnya satu mata daripada pemain beregu berikutan rekod pertemuan perseorangan pertama Thailand, Boonsak Polsana lebih memihak kepada negara itu.

Sementara itu, jurulatih beregu, Park Joo-bong yakin pasangan nombor satu negara, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng mampu melaksanakan tugas itu berdasarkan prestasi mereka sepanjang perlawanan peringkat kumpulan.

``Kami memang menjangkakan persaingan sengit menentang kedua-dua pasangan beregu, tetapi Chong Ming-Choon Eng mempunyai kelebihan untuk bertemu Promote Teerawiwatana dan Tesana Panvisvas,'' katanya.

Thailand dijangka menurunkan barisan pemain mereka dengan Boonsak sebagai perseorangan pertama diikuti Anupap Thiraratsakul dan Jakrapan Thanarthi-ratham.

Beregu kedua mereka pula terdiri daripada Khunakorn Sudhisodhi dan Patapol Ngernsrisuk dengan Tesana dan Promote sebagai pasangan pertama.

Malaysia dijangka mengekalkan barisan pemain yang sama seperti perlawanan menentang Hong Kong semalam dengan Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock dan Lee Tsuen Seng memikul tugas di barisan perseorangan dan Chong Ming-Choon Eng, Chan Kim Wai-Hong Chien Hun di bahagian beregu.

Kali terakhir Malaysia berdepan dengan Thailand dalam acara berpasukan pada kejohanan Piala Asia di Singapura Mei tahun lepas.

Kedua-dua pasukan tidak bertemu pada Sukan SEA XXI di Kuala Lumpur September lepas. – Utusan
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bwneG4yw© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan