Selasa, 28 Mac 2017

Hafiz belum puas

ARKIB : 21/02/2003
Oleh NIZAM YATIM
MUHAMMAD Hafiz Hashim yang menjuarai perseorangan badminton Seluruh England, Ahad lalu bertekad untuk mencipta satu lagi sejarah iaitu mempertahankan kedudukannya sebagai jaguh badminton dunia untuk tempoh 10 tahun lagi.

Hafiz, 20, berkata, dia yakin dapat mempertahankan kedudukan itu dengan menjalani latihan bersungguh-sungguh selama lapan jam sehari bagi mengekalkan prestasinya.

``Saya berlatih setiap hari mulai pukul 5.30 pagi dan berhenti seketika untuk sembahyang Subuh dan kemudian menyambung semula latihan sehingga pukul 12 tengah hari.

``Saya juga berlatih selama dua jam pada sebelah petang setiap hari. InsyaAllah sekiranya tidak diganggu masalah kesihatan, saya yakin dapat mencipta satu lagi sejarah,'' katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu semalam.

Menurut Hafiz, dia juga gembira kerana telah berjaya meningkatkan tahap keupayaan psikologinya sehingga tidak lagi terjejas akibat tekanan daripada luar.

Hafiz kini memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi dua kejohanan besar iaitu Terbuka Jepun dan Kejohanan Dunia.

Dalam pada itu, ketibaan Hafiz kira-kira pukul 9 pagi dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra disambut meriah oleh lebih 1,000 penduduk Kelantan daripada pelbagai peringkat termasuk pelajar sekolah.

Turut berada di lapangan terbang untuk menyambut Hafiz ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Shafii Ismail.

Hafiz menjuarai acara perseorangan Seluruh England selepas menewaskan pilihan pertama dari China, Chen Hong 17-14, 15-10 dalam masa 53 minit.

Dia mengakhiri kemarau 37 tahun negara sebagai pemain pertama menjuarai kejohanan itu selepas kali terakhir dilakukan Tan Aik Huang pada 1966.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ccguOhT9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan