Khamis, 23 Mac 2017

Malaysia kecundang - Badminton Piala Thomas



ARKIB : 13/05/2002
PEMAIN perseorangan pertama negara Wong Choong Hann berusaha mengambil hantaran Marleve Mainaky dari Indonesia pada perlawanan peringkat kumpulan B Kejohanan Badminton Piala Thomas di Guangzhou, semalam. - Gambar Bernama.

GUANGZHOU - Pasukan negara memilih jalan sukar untuk menempah tiket ke separuh akhir apabila tunduk 1-4 kepada penyandang juara, Indonesia dalam perlawanan kedua Kumpulan B di Gimnasium Tianhe, semalam.

Malaysia membuat kejutan dalam barisan pemainnya apabila memisahkan beregu nombor satu dunia, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng dan membentuk gandingan baru, Chong Ming-Lee Wan Wah, manakala Chew Eng digandingkan dengan Choong Tan Fook.

Malah, pasukan negara turut membuat kejutan apabila merehatkan pemain senior, Mohd. Roslin Hashim, sebaliknya membariskan adiknya, Muhammad Hafiz Hashim dalam perseorangan ketiga.

Kekalahan 1-4 kepada Indonesia membuatkan Malaysia tidak mempunyai pilihan lain kecuali menundukkan Thailand dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan esok.

Malaysia bermula dengan langkah kanan apabila perseorangan utamanya, Wong Choong Hann meletakkan skuad negara di depan dengan menewaskan juara Terbuka Indonesia, Marleve Mainaky 7-1, 7-2, 2-7, 7-5 dalam masa 33 minit untuk melebarkan rekod kemenangan 3-0 ke atas pemain veteran itu.

Bagaimanapun pasangan bidan terjun, Chong Ming-Wan Wah memberi aksi amat mengecewakan apabila tunduk mudah 0-7, 4-7, 4-7 kepada beregu nombor satu Indonesia, Candra Wijaya-Sigit Budiarto.

Bayangan kekalahan sudah mula kelihatan apabila ketua pasukan, Ong Ewe Hock yang memiliki rekod pertemuan 1-3 kepada Taufik Hidayat gagal menandingi lawannya yang jauh lebih bertenaga apabila tunduk 7-2, 2-7, 0-7, 6-8 kepada juara Terbuka Singapura itu.

Hasrat Malaysia untuk bangkit menyamakan kedudukan musnah apabila Tan Fook-Choon Eng yang diharap mampu menundukkan beregu kedua Indonesia, Halim Haryanto-Trikus Aryanto menyerah dalam tiga set 4-7, 4-7, 4-7.

Hafiz, 19, yang diharap mampu merapatkan kedudukan sekurang-kurangnya 2-3 gagal menyaingi juara dunia, Hendrawan dalam perseorangan ketiga. Pemain muda Nusa Mahsuri itu bagaimanapun memberi tentangan yang baik sebelum tewas 7-3, 7-8, 8-7, 5-7, 4-7.

``Saya harap Tan Fook-Chew Eng akan memberi mata kepada Malaysia tetapi percaturan itu gagal,'' kata jurulatih beregu negara, Park Joo-bong.

Ewe Hock, 30, yang tewas kepada Taufik dalam pertemuan terakhir kedua-dua pemain pada Sukan Olimpik Sydney dua tahun lalu memberi aksi meyakinkan pada set pembukaan apabila hanya mengambil masa kurang lima untuk menang 7-2.

Pemain nombor lapan dunia itu bagaimanapun melakukan banyak kesilapan pada set kedua, termasuk kerap melakukan hantaran jauh untuk tunduk 2-7.

Set ketiga lebih mengecewakan buat kapten Malaysia itu apabila langsung tidak melawan untuk dan kerap memberi bola tinggi untuk memudahkan Taufik melakukan smash yang gagal dikembalikan untuk tewas 0-7 dalam masa dua minit.

Biarpun cuba bangkit di set keempat, ketangkasan Taufik memaksa Ewe Hock terpaksa berlari ke seluruh gelanggang dan akhirnya tunduk 6-8.

Percubaan Joo-bong menggandingkan Tan Fook-Chew Eng merupakan perjudian yang tidak menjadi apabila pasangan itu gagal mencuri sebarang mata daripada Halim-Trikus yang dianggap tidak mantap, malah ketinggalan di sepanjang set pertama sebelum tewas 4-7.

Tan Fook-Chew Eng hanya sempat mendahului 4-3 pada set kedua, sebelum Chew Eng banyak melakukan kesilapan dengan smash yang sangkut di jaring untuk membenarkan lawan mengutip mata dan mengejar 7-4. Set ketiga menyaksikan pasangan negara memberi tentangan dan mendahului 1-0, tetapi digandingkan buat kali pertama belum cukup untuk kedua-duanya memberi persefahaman yang baik dan akhirnya tewas 5-7.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Thailand yang tunduk 0-5 kepada Indonesia dalam perlawanan pembukaan mencerahkan peluang ke separuh akhir apabila menumpaskan naib juara kelayakan Eropah, Jerman 4-1. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4c9oslNOB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan