Sabtu, 25 Mac 2017

Peluang terbaik buat Hafiz



ARKIB : 08/12/2002
KEJOHANAN Badminton Terbuka China yang bermula 15 Disember ini menjadi pentas terakhir buat juara Sukan Komanwel, Muhammad Hafiz Hashim untuk meraih gelaran antarabangsa sebelum tirai 2002 ditutup.

Menurut Hafiz, 20, dia akan memulakan latihan insentif sejurus selepas perayaan Hari Raya di bawah bimbingan jurulatih, Rashid Sidek.

Katanya, dia sebenarnya telah memulakan persediaan lebih awal, malah meneruskan latihan pada bulan puasa.

``Bagaimanapun latihan sepanjang bulan puasa hanya latihan ringan untuk mengekalkan tahap kecergasan dan latihan intensif mungkin bermula Isnin ini,'' katanya di rumah terbuka hari raya di Kota Bharu semalam.

Menurut Hafiz, pada bulan puasa lalu juga dia menyertai kejohanan ABC di Bangkok namun tewas kepada pemain China, Xia Xuanze di suku akhir.

Namun katanya, kekalahan tersebut tidak begitu membimbangkannya kerana terpaksa bermain dalam bulan puasa yang sedikit sebanyak membataskan kecergasannya.

Sementara itu, Hafiz berpendapat soal pelantikan jurulatih kebangsaan adalah menjadi hak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang tidak harus dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Katanya, sebagai badan induk kepada kegiatan badminton di negara ini sudah pasti BAM sentiasa membuat keputusan yang terbaik untuk sukan tersebut.

``Bagaimanapun sudah pasti, wujud persefahaman yang lebih baik jika kita berlatih di bawah tunjuk ajar jurulatih yang sebelum ini melatih kita,'' katanya.

Misbun Sidek dan Yap Kim Hock dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan dan beregu negara bagi menggantikan Indra Gunawan dan Park Jong-bong bermula hari ini dan 1 Januari depan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4cPPF1YjO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan