Khamis, 23 Mac 2017

Ewe Hock bertemu James -Perlawanan akhir badminton Terbuka Malaysia



ARKIB : 30/06/2002
Oleh: AHMAD SYAHIR KASSIM
PENYANDANG juara, Ong Ewe Hock dan juara Grand Prix Kebangsaan, James Chua mengesahkan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia menjadi milik pemain negara apabila menempah pertemuan akhir sesama sendiri di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Pisa), hari ini.

Malaysia turut berpeluang menambah gelaran dalam beregu lelaki apabila gandingan baru, Choong Tan Fook-Chang Kim Wai turut melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas mengejutkan beregu nombor satu dunia Jen Eriksen-Martin Lundgaard Hansen dari Denmark 15-8, 15-9, 15-10.

James, 23, yang mencetus kontroversi selepas tidak disenaraikan dalam skuad Piala Thomas negara bulan lalu, mengejutkan rakan senegara, Lee Tsuen Seng 15-2, 15-8 pada separuh akhir semalam.

Pemain veteran, Ewe Hock pula mengukuhkan peluangnya untuk mempertahankan gelaran dengan mengalahkan pemain nombor enam dunia, Bao Chunlai dari China 15-12, 15-5, 15-12.

Tsuen Seng, pemain ranking kelapan dunia gagal mengatasi kepantasan James dengan memberi kemenangan mudah 2-15 pada set pertama dan cuba bangkit pada set kedua tetapi terpaksa menyerah kalah 8-15.

`'Saya yakin mampu mengatasi Ewe Hock kerana sistem kiraan 15 mata memberikan kelebihan kepada pemain yang mempunyai stamina tinggi,'' kata James selepas perlawanan.

Ewe Hock pula diheret ke permainan tiga set dan ketinggalan 3-8 pada set pertama, sebelum bangkit dengan kemenangan 15-12.

Chunlai beraksi lebih pantas pada set kedua dan taktik tersebut menjadi apabila dia berjaya memerangkap Ewe Hock untuk kemenangan 15-5.

Pengalaman Ewe Hock jelas membataskan kesungguhan Chunlai untuk mencipta kejutan ke atas juara bertahan itu di set penentuan, apabila dia akur dengan kekalahan 15-12.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cDT9qVg6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan