Sabtu, 1 April 2017

Malaysia cemerlang jinakkan Korea Selatan



ARKIB : 01/07/2003

MALAYSIA bermula cemerlang dalam aksi pertama daripada tiga siri perlawanan persahabatan dengan Korea Selatan dalam badminton Cabaran Jemputan Transnasional apabila menang 4-1 di Stadium Sultan Abdul Halim di Alor Star, semalam lapor SOPHA SULAIMAN.

Pemain perseorangan pertama, Wong Choong Hann meraih mata pertama negara selepas menang ke atas juara Terbuka Jepun, Lee Hyun Il dengan straight set 15-6, 15-6.

Beregu pertama negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah memberi mata kedua dengan kemenangan ke atas pasangan Yim Bang Eun-Kim Young Hyun juga dengan straight set 15-9, 15-10.

Juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim pula memberi mata kemenangan dengan menewaskan Shon Seung Mo 17-14, 15-12.

Satu lagi beregu negara, Chan Chong Meng-Chew Choon Eng berentap tiga set dengan pasangan Lee Dong Soo-Kim Dong Moon sebelum tunduk 6-15, 15-11, 11-15.

Manakala perseorangan terakhir Malaysia, Lee Tsuen Seng mengalahkan Park Sung Hwan 15-6 15-10.

Sementara itu pasukan wanita negara tewas 4-1 dengan hanya Wong Mew Choo menang pertarungan dengan Kim Kyeung Ran 11-8, 13-11.

Dua lagi pemain perseorangan, Wong Miew Kheng dan Woon Sze Mei tewas termasuk dua beregu, Norashikin Amin-Fong Chew Yen dan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

Miew Kheng tewas kepada Jun Jae Youn dengan straight set 3-11, 1-11 manakala Sze Mei tewas 2-11, 7-11 kepada Hwang Yu Mi.

Norashikin-Chew Yen tewas 5-15, 5-15 kepada pasangan Lee Kyung Won-Hwang Yu Mi dan pasangan Pei Tty-Eei Hui tewas kepada Ra Kyung Min-Lee Kyung Won 5-15, 6-15.

Siri kedua Cabaran Jemputan Transnasional akan berlangsung di Dewan Badminton Tengku Anis, Kota Bharu, esok.

Perlawanan persahabatan ini diadakan sebagai pemanas badan buat kedua-dua negara menjelang Kejohanan Badminton Dunia di Birmingham, England penghujung bulan depan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4czkR2a68
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan